KUALA LUMPUR: Warisan budaya dan seni pertukangan Asia Tenggara yang kaya membuka peluang kepada pereka fesyen untuk menyerlah dalam industri fesyen sopan global menerusi gabungan elemen tradisional dengan reka bentuk kontemporari yang menepati cita rasa generasi muda.
Penasihat Gaya Hidup Fashionably Modest Asia (FMA) 2026, Andrew Tan berkata peluang itu bergantung pada keupayaan pereka mentafsir semula warisan budaya mereka melalui potongan moden, teknik inovatif dan pendekatan kreatif yang segar, tanpa mengetepikan kisah serta tradisi yang memberikan makna kepada setiap rekaan.
Beliau berkata Asia Tenggara mempunyai kepelbagaian budaya dan identiti kreatif tersendiri yang wajar mendapat pengiktirafan lebih luas.
“Namun, persoalannya ialah bagaimana kita dapat memberikan sentuhan kontemporari kepada warisan budaya tanpa menghilangkan kisah, kemahiran pertukangan dan tradisi yang menjadikannya begitu bermakna?
“Saya percaya di sinilah terletaknya peluang sebenar. Kita perlu mengambil warisan yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, kemudian mentafsirkannya semula melalui potongan moden, teknik inovatif dan pendekatan kreatif yang segar,” katanya ketika berucap pada pelancaran FMA 2026 di Pavilion Damansara Heights, di sini baru-baru ini.
Tan berkata pendekatan itu membolehkan tradisi terus berkembang, kekal relevan dan dekat dengan generasi muda.
Beliau berkata pemahaman terhadap fesyen sopan juga semakin berubah kerana konsep itu tidak lagi terikat pada satu gaya atau penampilan tertentu.
Sebaliknya, fesyen sopan kini merangkumi pelbagai pendekatan yang menggabungkan tradisi dengan reka bentuk kontemporari, di samping membolehkan pemakainya menzahirkan identiti dan gaya peribadi masing-masing.
“Fesyen bukan sekadar pakaian. Fesyen ialah satu bentuk ekspresi diri yang mencerminkan identiti, budaya dan cara kita memilih untuk menampilkan diri kepada dunia,” katanya.
Tan berkata FMA menyediakan platform buat pereka, jenama dan pemain industri bertukar-tukar idea serta meneroka potensi fesyen sopan, selain mengetengahkan kreativiti dan kemahiran pertukangan masing-masing.
Edisi kedua FMA 2026 akan berlangsung dari 13 hingga 15 Nov ini di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights, menampilkan pereka terkenal, bakat baharu dan jenama dari Malaysia, Singapura serta Indonesia.
Peserta yang mengambil bahagian antaranya ialah Radzuan Radziwill, Asyraf Arrif, Enya Chok, Jeffery Goh, Zachrin Jaafars, SYOMSZ by Syomirizwa Gupta dan Sharifah Kirana, selain Island Shops dari Singapura serta AYN ABAYA, IKYK dan Nada Puspita dari Indonesia.
Program selama tiga hari itu akan diisi dengan pertunjukan fesyen individu, persembahan berkumpulan dan kolaborasi kreatif yang merangkumi pakaian untuk majlis khas, pakaian sedia dipakai serta olahan baharu terhadap potongan pakaian yang lazim.
Pertunjukan fesyen anjuran Majalah WM, Mingguan Wanita, Nona dan Hijabista turut memberi peluang kepada pereka yang mengambil bahagian untuk meningkatkan pengenalan jenama masing-masing dan mendekati khalayak yang lebih luas.
Sementara itu, pengacara dan personaliti media sosial Dayah Bakar bakal memperkenalkan koleksi pakaian kasual pertamanya hasil kerjasama dengan jenama Thalia menerusi pertunjukan Thalia x Dayah Bakar pada 3 petang 15 Nov ini.
Beliau berkata kali ini, kerjasama yang memasuki tahun kedua itu mengetengahkan koleksi pakaian kasual yang sopan, bergaya dan moden dengan membawa elemen identiti Malaysia, termasuk sentuhan kebaya.
“Ini kali pertama kami mahu mengeluarkan pakaian kasual khas untuk FMA dan julung kali koleksi rekaan ini dibawa ke pentas peragaan. Contohnya, baju kebaya yang dijadikan pakaian kasual… bagaimana diperagakan? Yang itu kena tunggu,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis sama.
-- BERNAMA