Ringkasan AI
- Tahap kesiapsiagaan masyarakat yang tidak seragam menjadi cabaran utama dalam menghadapi Monsun Timur Laut, dengan sebahagian penduduk memandang ringan amaran awal banjir.
- MetMalaysia memperkukuh sistem ramalan dan amaran awal melalui teknologi cuaca berangka, pemantauan radar, satelit, serta data stesen meteorologi seluruh negara.
- Kawasan berisiko banjir termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak, namun risiko sebenar bergantung kepada hujan, paras sungai dan faktor setempat.
KUALA LUMPUR: Tahap kesiapsiagaan masyarakat yang tidak seragam menjadi antara cabaran utama dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya apabila masih terdapat penduduk yang memandang ringan amaran awal banjir dan lewat mengambil tindakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Zunaidi Mat berkata, berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, kelewatan bertindak boleh menyebabkan penduduk terdedah kepada keadaan yang lebih berbahaya.
Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat perlu diberi keutamaan bagi memastikan penduduk di kawasan berisiko memahami tindakan yang perlu diambil sebaik sahaja amaran dikeluarkan.
“Berdasarkan pengalaman kita menghadapi banjir Monsun Timur Laut sebelum ini, antara cabaran utama ialah tahap kesiapsiagaan masyarakat yang tidak seragam.
“Ada kecenderungan sesetengah penduduk memandang ringan amaran dan lewat mengambil tindakan sehingga keadaan menjadi berbahaya.
“Jangan tunggu sehingga banjir berlaku untuk bertindak. Amaran awal hanya berkesan apabila masyarakat mengambil tindakan yang sewajarnya demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Mohd Zunaidi berkata, MetMalaysia terus memperkukuh sistem ramalan dan amaran awal menerusi teknologi ramalan cuaca berangka, selain pemantauan imej radar, satelit serta data daripada rangkaian stesen meteorologi di seluruh negara.
Katanya, amaran awal akan dikeluarkan tiga hari sebelum kejadian menerusi aplikasi myCuaca, laman web rasmi MetMalaysia bagi memberi ruang kepada agensi pengurusan bencana dan orang ramai membuat persediaan.
Mengulas risiko banjir sepanjang MTL kali ini, beliau berkata, episod hujan berterusan selama tiga hingga lima hari perlu diberikan perhatian kerana berpotensi meningkatkan risiko banjir.
Berdasarkan analisis dan model cuaca terkini, kawasan yang dikenal pasti terdedah kepada banjir ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor serta bahagian barat Sarawak.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tahap risiko sebenar masih bergantung kepada keadaan hujan semasa, paras sungai dan faktor setempat termasuk fenomena air pasang besar.
MetMalaysia katanya akan terus memantau perkembangan cuaca dan mengeluarkan amaran dari semasa ke semasa.