Keputusan menamakan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Varnavadi sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum Thailand 24 Mac ini dibimbangi bakal mencemarkan imej institusi diraja negara itu.

Pada lapis lain, Penganalisis Politik Antarabangsa, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed melihat keputusan julung kali dibuat ini akan mempengaruhi pilihan rakyat tempatan.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ahmad Martada berkata, rakyat Thailand sebelum ini memandang tinggi institusi diraja apabila bukan sahaja simbol malah berjaya menyatu padukan rakyat yang terbahagi kepada dua kepercayaan politik, kumpulan merah dan kuning.

“Penghormatan yang tinggi kepada institusi diraja menyebabkan keadaan politik tidak terlalu bergolak dan ia merupakan sifat unik yang ada pada Thailand.

“Namun apabila ada ahli kerabat contohnya, kakak sulung kepada Raja Thailand ingin melibatkan diri dalam politik, ia akan mencemarkan imej institusi diraja Thailand.

“Ini kerana institusi diraja Thailand akan mempengaruhi persepsi masyarakat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

BACA: Pilihan raya Thailand: Kakak Raja Thai jadi calon PM


Pemilihan Puteri Ubolratana, kakak kepada raja Thailand Maha Vajiralongkorn dan bertanding atas tiket Parti Thai Raksa Chart, sebuah parti yang setia kepada bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra juga akan menimbulkan perspektif negatif rakyat.

“Secara umum, kita tahu sebelum ini Thaksin dengan institusi diraja mempunyai hubungan baik namun tidak lebih sebagai bekas pemimpin dengan diraja.

“Namun, keputusan Puteri Ubolratana untuk bertanding menggunakan tiket parti bekas pimpinan Thaksin akan menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan rakyat,” jelasnya.

Beliau mengulas keputusan Pemimpin Parti Thai Raksa Chart Preechapol Pongpanich yang menamakan Puteri Ubolratana sebagai calon dan akan bertanding secara adil mengikut perlembagaan.

Proses demokrasi 24 Mac ini dilihat jadi medan ujian antara penyokong dan sekutu Thaksin serta kerajaan yang disokong tentera.

Prayuth Chan-Ocha, yang menjadi perdana menteri sejak mengetuai rampasan kuasa pada 2014, turut dipilih sebagai calon untuk memimpin kerajaan seterusnya.