DUNIA
Pencapaian penting WTO, perjanjian perikanan global berkuat kuasa

Perjanjian itu melarang pemberian subsidi kepada armada yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan termasuk di laut dalam yang haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal. - Gambar hiasan Reuters
GENEVA: Perjanjian perikanan global yang dirundingkan oleh anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mula berkuat kuasa pada Isnin, dengan matlamat menangani isu penangkapan ikan berlebihan di lautan dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perjanjian itu melarang pemberian subsidi kepada armada yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan termasuk di laut dalam yang haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal.
Kajian pada 2019 yang diterbitkan dalam jurnal Marine Policy mendapati subsidi perikanan berjumlah kira-kira AS$35 bilion setahun, dengan AS$22 bilion daripadanya digunakan untuk meningkatkan kapasiti penangkapan ikan.
Namun, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), 35.5 peratus daripada lebih 2,500 stok ikan yang dinilai di seluruh dunia telah dieksploitasi secara berlebihan.China, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun dinamakan dalam laporan Marine Policy sebagai penyumbang subsidi terbesar.
Ditandatangani pada 2022, perjanjian itu hanya boleh berkuat kuasa selepas dua pertiga daripada 166 anggota WTO meratifikasinya.
AS, EU, China dan Brazil antara negara yang telah berbuat demikian, manakala India dan Indonesia - yang mempunyai industri perikanan besar - masih belum berbuat demikian.
Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo-Iweala berkata perjanjian itu, yang merupakan perjanjian pertama WTO memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar, "melindungi mata pencarian berjuta-juta orang".
"Pencapaian ini bukan sahaja untuk planet dan lautan tetapi juga untuk manusia di seluruh dunia, khususnya generasi muda," katanya.
Pertubuhan pemuliharaan WWF turut mengalu-alukan perjanjian itu. "Lautan saling berhubung di seluruh dunia; ikan tidak mengenal sempadan. Jika kita mahu terus menikmati ikan, stok ikan perlu dilindungi melalui perjanjian global yang dipatuhi semua pihak," kata wakil WWF, Anna Holl.
Namun kumpulan alam sekitar itu turut menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh mengabaikan langkah seterusnya, termasuk pelaksanaan serta perjanjian tambahan bagi menutup jurang yang masih wujud, antaranya menghentikan subsidi yang menyumbang kepada lebihan kapasiti armada. Satu lagi perjanjian kini sedang dirundingkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami