Penembak serangan Christchurch dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

Astro Awani
Ogos 27, 2020 02:50 MYT
Brenton Tarrant bakal menjalankan hukuman penjara seumur hidup, iaitu yang pertama kali dijatuhi di New Zealand. Foto - REUTERS.
DALANG di sebalik serangan dua masjid di Christchurch yang mengorbankan 51 nyawa dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan untuk parol di mahkamah New Zealand pada Khamis.
Warga Australia Brenton Tarrant, 29 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan membunuh 51 orang, serta cubaan untuk membunuh 40 orang lain dan satu tuduhan melakukan keganasan.
Ini merupakan kali pertama hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan di New Zealand.
BACA: Serangan Christchurch: Suspek bercadang bakar masjid selepas serangan
Menurut pertuduhan, yang dibacakan Pendakwa Raya Diraja Barnaby Hawes, pengganas itu membuat perancangan rapi bagi menjalankan serangan berkenaan yang bertujuan menyebabkan sebanyak mungkin kematian.
Perbicaraan bagi menjatuhkan hukuman dijalankan selama empat hari yang menyaksikan lebih 60 kenyataan mangsa dan keluarga mangsa terkorban.
Pada hari terakhir kenyataan mangsa dikongsikan di mahkamah, beberapa surah Al-Quran dibacakan dan gambar-gambar mangsa terkorban turut dipamerkan.
New Zealand tidak melaksanakan hukuman mati, namun kesalahan membunuh dan keganasan membawa hukuman penjara minimum 17 tahun tanpa pembebasan.
Bagaimanapun, hakim diberi kuasa untuk memenjarakan seseorang tanpa kemungkinan untuk dibebaskan.
Serangan yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019 di bandar terbesar di selatan pulau New Zealand itu disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera yang dipasang pada badannya.
Sebelum serangan tersebut, Tarrant didakwa telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat dan tarikh penting kalendar umat Islam ‘bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid’.
BACA: Serangan pengganas Christchurch: Lawatan ke tapak Perang Salib kuatkan radikalisasi Tarrant
BACA: Pengganas insiden berdarah Christchurch pecat peguam, tidak menyesali perbuatannya
#Australia #Brenton Tarrant #Christchurch #masjid #New Zealand #pengganas #serangan Christchurch #tembak