MOSCOW: Sebuah pesawat penumpang Syrian Airlines tiba di Moscow, Rusia dari Damsyik pada Ahad, menandakan penyambungan semula penerbangan terus antara kedua-dua ibu negara itu selepas lebih satu setengah tahun digantung.
Menurut data penerbangan, pesawat jenis Airbus A320 yang dikendalikan Syrian Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada 2.14 pagi sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow pada 6.44 pagi.
Pesawat berkenaan kemudiannya berlepas semula ke Damsyik pada hari yang sama.
Penerbangan antara Damsyik dan Moscow digantung pada Disember 2024 susulan perkembangan situasi politik di Syria.
Sehubungan itu, perkhidmatan itu kini dijadualkan beroperasi setiap Ahad.
Sumber industri penerbangan memaklumkan penerbangan sulung selepas penyambungan semula laluan itu hampir penuh, mencerminkan permintaan tinggi bagi perjalanan antara kedua-dua destinasi.
Sebelum kejatuhan rejim bekas Presiden Syria Bashar al-Assad, Syrian Airlines mengendalikan penerbangan pergi-balik mingguan antara Damsyik dan Moscow.
Pada ketika itu, syarikat penerbangan berkenaan mengelakkan ruang udara Turkiye berikutan larangan Ankara terhadap penerbangan Syria.
Penyambungan semula laluan udara berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memulihkan hubungan pengangkutan udara dan pergerakan penumpang antara Syria dan Rusia selepas tempoh gangguan yang panjang.