DUNIA
Pengalaman dunia berhadapan 'lockdown' semula

India merupakan salah sebuah negara yang mencatatkan kapasiti penuh di hospital. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR:Institusi kesihatan lumpuh, kapasiti hospital penuh sehingga menyebabkan pesakit COVID-19 di beberapa negara terpaksa ditempatkan di rumah masing-masing dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Situasi tidak terkawal ini menyebabkan kebanyakan negara dunia terpaksa melaksanakan lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi.
Dalam hal ini, siapa yang patut dipersalahkan? Kerajaan atau individu itu sendiri?
1. Jepun
Kerajaan Jepun mengisytiharkan darurat selama satu bulan bermula 8 Januari sehingga 7 Februari di Tokyo dan tiga wilayah sekitarnya berikutan peningkatan kes COVID-19.
Meskipun penularan wabak berkenaan tidak serius berbanding negara lain, namun Jepun menyaksikan jangkitan harian baharu meningkat 6,000 untuk pertama kalinya pada hari Rabu lepas dengan 1,591 ujian didapati positif di ibu negara, Tokyo.
Kerajaan memutuskan untuk tidak melonggarkan sekatan itu sekurang-kurangnya sehingga 7 Februari melainkan bilangan kes harian menurun kepada 500 kes di Tokyo.
Kadar kematian menyaksikan peningkatan dua kali ganda dalam tempoh dua bulan terakhir.
2. India
Jumlah jangkitan COVID-19 di India dilaporkan melepasi 10 juta kes menjadikan ia negara kedua tertinggi merekodkan kes jangkitan di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).
Nisbah seorang doktor berbanding pesakit COVID-19 di India adalah 1:1,456, jauh lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengesyorkan 1:1,000.
Susulan peningkatan pesakit COVID-19, ada gerabak kereta api di negara itu diubah suai menjadi wad isolasi.
3. England
England melaksanakan lockdown ketiga apabila kes COVID-19 merekodkan penambahan 60,000 kes pada Selasa lalu.
Pejabat Statistik Negara memaklumkan lebih satu juta kes dilaporkan antara 27 Disember 2020 dan 2 Januari 2021.
Jumlah pesakit di hospital meningkat 40 peratus lebih tinggi berbanding gelombang pertama.
4. Jerman
Setakat ini, Jerman merekodkan 38,795 kematian dengan 1.5 juta individu sembuh daripada COVID-19.
Pada November, nilai R-Naught di Jerman berada pada bacaan 1 dengan aliran yang tidak stabil. Bermakna secara puratanya, kadar keterjangkitan adalah satu nisbah satu individu. Pada ketika ini R-Naught berada pada 0.92.
5. Lubnan
Lubnan mengistiharkan perintah berkurung termasuk sekatan pergerakan dari pukul 6 petang hingga 5 pagi selama 25 hari susulan peningkatan kes COVID di negara itu.
Ini merupakan kali ketiga negara itu melaksanakan perintah itu selepas merekodkan 2,800 jangkitan baharu pada Ahad lalu.
Beberapa hari lalu, kerajaan mengumumkan hospital di negara itu mencapai kapasiti maksimum pesakit COVID-19.
Malah pengamal perubatan menyarankan orang ramai supaya menjaga ahli keluarga mereka yang disahkan positif di rumah dengan pematuhan SOP.
Lubnan mencatatkan 4,774 kes baharu pada Khamis lalu menjadikan lebih 200,000 kes direkodkan di negara itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami