GAZA: Pengarah Hospital Al-Aqsa menyeru masyarakat antarabangsa untuk mencegah 'malapetaka sebenar' jika kemudahan perubatan dan pekerja kesihatan tidak dilindungi dalam perang berterusan di Gaza.

Jelas Dr Iyad Abu Zaher, sekiranya ia berlaku, pihaknya tidak lagi mempunyai peluang menyediakan perkhidmatan perubatan kepada rakyat Palestin yang akan dibiarkan meninggal dunia di jalanan.

"Kami menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan semua badan antarabangsa untuk melindungi kakitangan perubatan dan hospital kami.

"Hari ini kami berada di ambang malapetaka yang nyata, yang mana jika ia berlaku, kami tidak akan mempunyai satu pun peluang untuk menyediakan sebarang perkhidmatan perubatan kepada rakyat kami yang akan dibiarkan mati di jalanan,” katanya.

Pada sidang akhbar di luar hospital, koordinator pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Sean Casey berkata, Hospital Al-Aqsa sedang bergelut dengan ramai pesakit dan kekurangan kakitangan untuk menjaga mereka.

Justeru beliau menegaskan, kemudahan dan pekerja kesihatan mesti dilindungi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan.

"Satu permintaan yang dibuat oleh pengarah hospital kepada kami ialah perlindungan kemudahan kesihatan yang mana kami terus katakan adalah penting. Kemudahan kesihatan mesti dilindungi. Pekerja kesihatan mesti dilindungi. Pesakit mesti selamat dalam mengakses penjagaan.

"Apa kita lihat adalah sebuah hospital yang benar-benar bergelut dengan ramai mangsa dan sangat sedikit pekerja untuk menjaga mereka. Itu sebahagiannya kerana pekerja takut untuk datang ke sini. Pekerja telah melarikan diri ke kawasan di selatan Gaza. Jadi, kita perlu terus melindungi kemudahan kesihatan," katanya.

Serangan Israel ke atas Gaza sehingga kini sudah mengorbankan lebih 22,000 penduduk dan mencederakan 58,000 yang lain.

Dua per tiga daripada korban itu adalah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.