PATTAYA: Seorang pengasas bersama platform fesyen dalam talian terkemuka, Asos, dilaporkan maut selepas terjatuh dari sebuah pangsapuri mewah di Pattaya, Thailand, menurut polis tempatan.
Mangsa, Quentin Griffiths, telah dikenal pasti sebagai individu yang ditemui mati di kawasan luar bangunan tersebut pada 9 Februari.
Advertisement
Polis Pattaya memaklumkan kepada BBC bahawa Griffiths, pemegang pasport British, dipercayai berada bersendirian ketika kejadian.
Menurut pegawai penyiasat, bilik kediaman Griffiths di tingkat 17 berada dalam keadaan berkunci dari dalam, tanpa sebarang petanda pencerobohan. Hasil bedah siasat juga tidak menemui unsur jenayah.
Griffiths, yang mengasaskan Asos pada tahun 2000, kekal sebagai pemegang saham utama syarikat itu walaupun meninggalkannya lima tahun kemudian.
“Kami amat sedih dengan pemergian Quentin, salah seorang pengasas asal syarikat ini.
"Beliau memainkan peranan penting pada peringkat awal Asos dan kami amat menghargai sumbangannya. Takziah kami ucapkan kepada keluarga dan rakan-rakannya,” kata jurucakap Asos dalam satu kenyataan.
Jurucakap Pejabat Luar Negeri UK turut mengesahkan bahawa mereka sedang memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.
Polis Pattaya memaklumkan bahawa Griffiths telah menetap jangka panjang di hotel berkenaan, menggunakan sebuah suite sebagai kediaman tetapnya.
Pihak polis juga menyatakan bahawa Griffiths sedang berdepan dua kes mahkamah yang masih berjalan.
Menurut laporan BBC, Griffiths telah berpisah dengan isteri keduanya, seorang wanita warga Thailand, dan didakwa sedang terlibat dalam pertikaian undang‑undang berkaitan perniagaan yang mereka jalankan bersama.
Griffiths mengasaskan Asos di London bersama Nick Robertson, Andrew Regan dan Deborah Thorpe.
Nama Asos pada asalnya merujuk kepada “As Seen On Screen”, dengan konsep menjual pakaian yang menyerupai gaya selebriti dan watak dari TV serta filem.
Sejak itu, Asos berkembang menjadi platform fesyen global yang menawarkan ratusan jenama serta labelnya sendiri, dan pernah mencapai nilai pasaran melebihi £6 bilion.
Pemegang saham terbesarnya termasuk jutawan Denmark, Anders Holch Povlsen, pemilik syarikat pakaian Bestseller, serta Mike Ashley dari Frasers Group.