Skip to main content

Dunia

NASA sasar awal Mac untuk hantar angkasawan mengelilingi bulan

This photo provided by NASA shows a full moon shining over NASA’s Space Launch System and Orion spacecraft, atop the mobile launcher at Launch Pad 39B at the Kennedy Space Center in Florida, on Feb. 1, 2026. (Sam Lott/NASA via AP)
Foto yang disediakan oleh NASA ini menunjukkan bulan purnama bersinar di SLS NASA dan kapal angkasa Orion, yang terletak di atas pelancar mudah alih di Tapak Pelancaran 39B, Pusat Angkasa Kennedy di Florida. - Foto AP

WASHINGTON: NASA menetapkan sasaran pelancaran seawal 6 Mac untuk menghantar empat angkasawan mengelilingi bulan, misi pertama membawa manusia ke orbit lunar dalam lebih 50 tahun.

Misi Artemis II itu bakal menyaksikan kru berlepas dalam penerbangan selama 10 hari mengelilingi bahagian jauh bulan sebelum kembali ke bumi, satu langkah penting menuju pendaratan manusia seterusnya.

Advertisement

Tarikh pelancaran baharu itu diumumkan selepas NASA berjaya melakukan 'wet dress rehearsal', iaitu ujian kritikal yang mengisi roket dengan bahan api dan menjalankan kiraan detik penuh.

Ia merupakan percubaan kedua pasukan Artemis selepas ujian pertama awal Februari terpaksa dihentikan akibat kebocoran hidrogen.

“Kami semakin hampir. Setiap malam saya pandang bulan, dan saya rasa seolah‑olah ia sedang memanggil kami,” kata Lori Glaze daripada Nasa pada sidang media.

“Keseronokan terhadap Artemis II kini semakin dirasai.”

Menurut NASA, masalah teknikal sebelum ini termasuk isu dengan penapis dan pengedap kini telah diselesaikan.

Roket Space Launch System (SLS) setinggi 98 meter berjaya diisi bahan api mengikut jadual dan melalui kiraan detik tanpa masalah.

Kru Artemis II terdiri daripada tiga angkasawan Amerika Syarikat; Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen.

Mereka dijadual memasuki tempoh kuarantin bermula Jumaat.

Mereka akan menaiki kapsul Orion, yang terletak di bahagian atas SLS.

Bahagian dalaman kapsul berkeluasan kira‑kira sebesar sebuah bas mini, tempat mereka tinggal, makan, bekerja dan tidur sepanjang misi.

Hari pertama akan digunakan untuk mengorbit bumi sebelum roket menolak Orion keluar menuju bulan.

Perjalanan mengambil masa sekitar empat hari, dan kru akan mengelilingi bahagian jauh bulan pada jarak 6,500 hingga 9,500 kilometer dari permukaan, kawasan yang tidak pernah dilihat dari bumi.

Mereka akan meluangkan beberapa jam untuk mengumpul data dan merakam imej bulan sebelum memulakan perjalanan pulang yang turut mengambil masa empat hari, berakhir dengan pendaratan di Lautan Pasifik.

Jika berjaya, Artemis II akan membuka jalan bagi Artemis III, misi pertama sejak 1972 yang akan menurunkan angkasawan ke permukaan bulan.

Nasa menyasar pendaratan pada 2028, walaupun jadual itu dianggap sangat mencabar.

SpaceX, milik Elon Musk, diberi kontrak membina pendarat lunar, namun kelewatan pembangunan roket Starship menyebabkan NASA meminta pelan baharu yang dipercepatkan.

Syarikat Blue Origin milik Jeff Bezos turut diminta mengemukakan rancangan dipertingkat bagi menyokong jadual Artemis III.

Perlumbaan ke bulan kini semakin sengit. China menyasar pendaratan manusia menjelang 2030, dengan kedua‑dua negara mensasarkan kawasan kutub selatan Bulan, lokasi strategik untuk pembinaan pangkalan jangka panjang.

 

Must Watch Video