YAMAGUCHI: Kebakaran yang berlaku di sebuah kuil Buddha serta dua bangunan berhampiran di Bandar Shimonoseki, Yamaguchi, barat Jepun, awal pagi Jumaat mengakibatkan lima orang maut, lapor Jiji Press yang memetik polis dan pihak bomba tempatan.
Kira-kira 2.25 pagi, seorang penduduk yang berjiran dengan Kuil Shorinji di Daerah Toyoura-cho Kawatana menghubungi pihak berkuasa selepas menyedari terdapat api dan asap.
Advertisement
Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran kira-kira tiga jam kemudian, namun lima mayat ditemukan dalam runtuhan bangunan.
Menurut Jabatan Bomba Shimonoseki, seorang wanita membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan beberapa minit sebelum laporan dibuat oleh jiran berkenaan.
Polis Wilayah Yamaguchi sedang menyiasat punca kebakaran dan berusaha mengesahkan identiti mangsa.
Mangsa adalah lima orang yang dipercayai penghuni premis iaitu seorang lelaki berusia 89 tahun, seorang lelaki dalam lingkungan 50-an, seorang wanita dalam lingkungan 40-an, seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 10 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur bawah 10 tahun.
-- BERNAMA-JIJI PRESS