NEW YORK: Pengasas FTX, Sam Bankman-Fried, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada Khamis dalam kes penipuan mata wang kripto yang disifatkan sebagai salah satu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Bankman dituduh mencuri AS$8 bilion daripada pelanggan dan pelabur syarikat pertukaran mata wang kripto FTX yang kini telah muflis.

Hakim Lewis Kaplan menjatuhkan hukuman itu pada perbicaraan Mahkaham Persekutuan New York selepas menolak dakwaan Bankman bahawa pelanggan FTX tidak kehilangan wang dan mendapati dia berbohong semasa memberikan keterangannya.

Sebelum ini para juri mendapati Bankman, 32, bersalah pada 2 November 2023 lalu atas tujuh pertuduhan penipuan dan konspirasi yang berpunca daripada kejatuhan FTX pada tahun 2022.

Kaplan berkata, Bankman tidak menunjukkan sebarang penyesalan.

Bankman, yang memakai kemeja-T lengan pendek penjara, memberi ucapan selama 20 minit kepada hakim bahawa pelanggan FTX telah menderita.

Dia turut menawarkan permohonan maaf kepada bekas rakan sekerjan FTX tetapi tidak mengakui kesalahan jenayah.

Hukuman itu menandakan kemuncak kejatuhan Bankman daripada seorang usahawan yang sangat kaya dan penderma politik utama kepada tindakan keras pihak berkuasa terhadap penyelewengan dalam pasaran mata wang kripto.