SAN DIEGO: Seorang pengawal keselamatan yang terbunuh dalam serangan tembakan di sebuah masjid di San Diego dipuji sebagai wira selepas tindakannya dipercayai berjaya menyelamatkan banyak nyawa, termasuk kira-kira 140 kanak-kanak yang berada di dalam kompleks berkenaan.
Mangsa dikenali sebagai Amin Abdullah, seorang bapa kepada lapan anak, yang maut bersama dua lagi jemaah dalam insiden yang berlaku pada Isnin di Pusat Islam San Diego.
Ketua Polis San Diego, Scott Wahl, berkata tindakan Amin adalah “heroik” dan jelas membantu mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih besar.
“Tidak syak lagi, beliau telah menyelamatkan nyawa,” katanya.
Menurut polis, dua suspek remaja bersenjata melepaskan tembakan selepas memasuki kawasan masjid, sebelum bertembung dengan Amin di pintu masuk.
Amin dilaporkan segera bertindak balas dengan melepaskan tembakan balas serta mengaktifkan prosedur kecemasan penguncian (lockdown) melalui radio, memberi masa kepada jemaah dan pelajar berlindung.
Tindakan itu dipercayai menghalang suspek daripada memasuki kawasan utama masjid dan sekolah yang terletak dalam kompleks sama, di mana sekitar 140 kanak-kanak berada berhampiran lokasi kejadian.
Namun, Amin akhirnya maut dalam pertempuran dengan penyerang di kawasan parkir.
Dua mangsa lain dikenal pasti sebagai Mansour Kaziha dan Nader Awad, yang menurut pihak berkuasa turut memainkan peranan penting dalam mengalih perhatian penyerang.
Polis berkata tindakan mereka membantu melambatkan pergerakan suspek dan mencegah lebih ramai mangsa terkorban.
Ketiga-tiga mangsa disifatkan sebagai wira oleh pihak berkuasa dan komuniti setempat.
Dua suspek, berusia 17 dan 18 tahun, dilaporkan melancarkan serangan sebelum melarikan diri.
Mereka kemudiannya ditemui mati dalam kenderaan berhampiran dengan luka tembakan yang dipercayai dilakukan sendiri.
Pihak berkuasa kini menyiasat insiden itu sebagai kemungkinan jenayah kebencian, dengan beberapa bukti awal menunjukkan wujudnya retorik kebencian dalam kalangan suspek.
Rakan dan ahli komuniti menggambarkan Amin sebagai seorang yang peramah dan sentiasa membantu orang lain.
Masjid berkenaan dalam satu kenyataan menyifatkannya sebagai individu berani yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain.
Beliau juga dilaporkan telah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di masjid itu selama lebih sedekad dan dikenali ramai sebagai figura penting dalam komuniti setempat.
Dalam satu perhimpunan komuniti selepas kejadian, ahli keluarga mangsa menyeru orang ramai supaya bersatu dan meneruskan legasi murni yang ditinggalkan oleh Abdullah.
Datuk Bandar San Diego, Todd Gloria, turut menegaskan bahawa tindakan ketiga-tiga mangsa mencerminkan nilai sebenar masyarakat bandar itu, sambil mengutuk keganasan tersebut sebagai tidak dapat diterima.
Insiden tembakan ini mencetuskan kejutan di seluruh Amerika Syarikat, namun keberanian Amin dan dua lagi mangsa menjadi simbol pengorbanan dalam menghadapi keganasan.
Pihak berkuasa percaya tanpa tindakan pantas mereka, jumlah korban mungkin jauh lebih besar.