Skip to main content

Malaysia

Isu 3R: Polis buka kertas siasatan terhadap Tony Pua

41548077098_TonyPua.jpg
Siasatan ke atas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, susulan hantaran dimuat naik di Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara berhubung hantaran berkenaan.

Menurutnya, siasatan ke atas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Beliau memberitahu, Tony Pua juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ya, kita buka kertas siasatan selepas kita (polis) terima laporan ke atas Tony Pua,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Selain itu, Kumar memberitahu, Tony Pua dan kesemua yang berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu hadir sekurang kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang ditulis di plak di situ selain menghormati institusi raja.

Susulan itu, Tony Pua dalam hantaran di Facebook menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hantaran itu mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin politik yang membidas kenyataan veteran DAP berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement