Ringkasan AI
- Lebih 160 negara mengiktiraf Palestin, namun tindakan konkrit antarabangsa diperlukan untuk memastikan kedaulatan dan pentadbiran berkesan negara itu.
- Pendudukan Israel, sekatan pergerakan, dan penahanan hasil cukai menjadi halangan utama kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka.
- Pihak Berkuasa Palestin menghadapi kekangan kewangan, menjejaskan perkhidmatan awam, dan menggesa tekanan diplomatik antarabangsa terhadap Israel agar menyalurkan semula dana tertahan.
KUALA LUMPUR: Pengiktirafan lebih 160 negara terhadap Palestin perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit masyarakat antarabangsa bagi memastikan negara itu mencapai kedaulatan penuh dan mempunyai keupayaan untuk mentadbir secara berkesan, kata Penasihat Perdana Menteri Palestin bagi Hubungan Antarabangsa Dr Izzat Abdel Hadi.
Beliau berkata pengiktirafan diplomatik semata-mata tidak mencukupi untuk mewujudkan sebuah negara berdaulat yang berfungsi sepenuhnya tanpa langkah melindungi keutuhan wilayahnya, memperkukuh institusi serta menangani cabaran akibat pendudukan berterusan Israel.
Masyarakat antarabangsa perlu mengambil pendirian tegas terhadap peluasan penempatan Israel, keganasan pendatang haram dan pengilhakan wilayah, di samping memastikan perlindungan terhadap masyarakat Palestin, kata beliau.
"Perkara paling penting adalah untuk mewujudkan hala tuju yang jelas, boleh dipercayai dan mempunyai tempoh masa tertentu ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
"Kita perlu beralih daripada fasa pembinaan negara kepada merealisasikan penubuhan Negara Palestin menerusi langkah konkrit," katanya dalam temu bual menerusi program 'The Nation Diplomatic Dispatch' terbitan Bernama TV bertajuk 'Palestine Beyond The Headlines: Rebuilding Under Occupation'.
Abdel Hadi berkata pendudukan berterusan Israel, sekatan pergerakan serta dasar yang memecahbelahkan wilayah Palestin kekal menjadi antara halangan utama kepada penubuhan sebuah negara merdeka.
Beliau berkata kewujudan lebih 800 pusat pemeriksaan di 108 bandar menyukarkan pergerakan antara kawasan-kawasan Palestin, sekali gus menjejaskan kehidupan seharian penduduk.
Beliau turut menegaskan bahawa penyatuan Gaza dan Tebing Barat merupakan asas penting ke arah merealisasikan penubuhan Negara Palestin.
Dr. Izzat Abdel Hadi, Advisor to the Prime Minister for International Relations of the State of Palestine, discusses the urgent challenges facing Palestinians and the steps needed to bring them closer to an independent state. From securing humanitarian aid and protecting communities from displacement to rebuilding Gaza, restoring public services and addressing political divisions, the conversation examines what needs to happen beyond international statements of support. He also shares where countries recognising Palestine, including Malaysia, can make a practical difference. *Watch the full interview to understand what stands in the way of Palestinian statehood and what concrete action is needed to move the process forward.* Full Interview: [[https://t.co/VEq9cTnzTf]] #PalestineBeyondTheHeadlines #BernamaTV #Palestine #PalestinianStatehood #HumanitarianAid #GazaReconstruction #MalaysiaPalestine #InternationalRelations
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) November 5, 2026
Abdel Hadi berkata tindakan konkrit masyarakat antarabangsa juga perlu menangani cabaran kewangan yang dihadapi Pihak Berkuasa Palestin, khususnya tindakan Israel yang terus menahan hasil cukai milik Palestin.
Beliau berkata hasil berkenaan menyumbang kira-kira 67 peratus daripada belanjawan Palestin, namun Pihak Berkuasa Palestin tidak menerima dana itu sejak 20 bulan lepas, sekali gus menjejaskan keupayaannya menyediakan perkhidmatan awam yang penting.
Kekangan kewangan itu turut menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membayar gaji penuh petugas kesihatan, menyelenggara hospital serta memenuhi keperluan sektor pendidikan.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, beliau berkata Pihak Berkuasa Palestin terus memberikan sokongan kepada penduduk Gaza menerusi program pendidikan, penjagaan kesihatan dan pemulihan.
Beliau juga berkata lebih 40,000 pelajar di Gaza telah mendaftar di sekolah-sekolah dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Palestin, manakala perkhidmatan kesihatan dan operasi hospital terus berjalan meskipun terdapat pelbagai cabaran.
Abdel Hadi menegaskan penyaluran semula hasil cukai yang ditahan serta penubuhan mekanisme pemindahan dana fiskal yang teratur dan terjamin amat penting bagi membolehkan Pihak Berkuasa Palestin melaksanakan tanggungjawabnya.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel, termasuk mendesak agar dana berkenaan disalurkan semula serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya.
Beliau berkata menamatkan pendudukan Israel kekal sebagai matlamat utama dalam perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan kedaulatan negara.
-- BERNAMA