KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 28 Nov manakala pengundian awal pada 8 Dis, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
"Hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Dis melibatkan 24,408 anggota polis, Pasukan Petugas Am serta tentera," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Sarawak di sini, hari ini.
Pada 23 Okt lalu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 26 Okt bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13.
DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi dan jumlah itu kekal digunakan pada pilihan raya kali ini, berikutan proses pewujudan 17 kerusi tambahan belum dimuktamadkan.
Setakat suku tahun ketiga 2026, jumlah pemilih berdaftar di Sarawak mencecah 2,058,781 orang berbanding 1,252,014 pemilih pada PRN 2021
Pada PRN Sarawak ke-12 yang berlangsung 18 Dis 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.
PRN Sarawak merupakan PRN keempat diadakan tahun ini selepas PRN Johor pada 11 Julai, disusuli Negeri Sembilan 1 Ogos, seterusnya Melaka pada 14 Nov.