Skip to main content

Dunia

Penumpang berlepas dari Singapura dikenakan levi SAF mulai 2027

Sumber: Adobe Stock
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam kenyataan pada Khamis berkata levi itu akan dikenakan bagi tiket dan perkhidmatan yang dijual mulai 1 Okt 2026 serta perlu dinyatakan dalam pecahan tambang bersama cukai dan caj lain. -Foto fail/Adobe Stock
Advertisement

SINGAPURA: Singapura akan mula mengenakan levi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) terhadap penumpang yang berlepas dari negara itu mulai 1 Jan 2027, sebagai sebahagian usaha menyokong peralihan sektor penerbangan kepada bahan api lebih bersih.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam kenyataan pada Khamis berkata levi itu akan dikenakan bagi tiket dan perkhidmatan yang dijual mulai 1 Okt 2026 serta perlu dinyatakan dalam pecahan tambang bersama cukai dan caj lain.

Semua hasil kutipan akan disalurkan ke Dana SAF berkanun bagi membiayai pembelian SAF dan ciri-ciri alam sekitar (EA) berkaitan, selain menampung kos pentadbiran.

Singapore Sustainable Aviation Fuel Company Ltd. (SAFCo), sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan milik penuh CAAS akan dilantik sebagai ejen kutipan levi SAF dan turut bertanggungjawab memperoleh, mengurus, merekod serta memperuntukkan SAF dan EA berkaitan SAF.

“SAFCo telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan industri untuk membangunkan proses operasi serta sistem yang diperlukan bagi urusan penyata dan kutipan levi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, CAAS berkata pelaksanaan levi SAF bagi penghantaran kargo udara akan ditangguhkan selama setahun.

Levi bagi kargo akan dikenakan terhadap perkhidmatan yang dijual mulai 1 Okt 2027 bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura mulai 1 Jan 2028.

“Dengan mengambil kira maklum balas industri, penangguhan selama setahun itu akan memberi lebih masa kepada CAAS untuk bekerjasama dengan pihak industri dalam membangunkan dan melaksanakan mekanisme kutipan levi SAF yang kukuh bagi penghantaran kargo dalam penerbangan yang berlepas,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan berkata agensi itu bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan serta rakan industri global lain bagi mewujudkan rangka kerja kukuh untuk kutipan levi SAF, perolehan serta pengurusan ciri-ciri alam sekitar.

“Melalui usaha ini, CAAS berhasrat meletakkan asas bagi menjadikan Singapura hab yang dipercayai untuk aktiviti ekonomi berkaitan SAF di rantau ini,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement