MADRID: Penunjuk perasaan membakar sebuah kem pendatang di wilayah enklaf Sepanyol, Ceuta, di Afrika Utara pada Khamis dan menuntut kumpulan pendatang segera dihantar pulang ke Maghribi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Rakaman televisyen dari Pantai Benitez, tempat migran berkhemah selama beberapa minggu, menunjukkan orang awam berulang kali melontar objek ke dalam api yang sedang marak.
Anggota polis bertindak memisahkan penunjuk perasaan daripada kumpulan pendatang, yang telah berundur ke kawasan jeti.
Sebelum itu, penunjuk perasaan cuba menghalang kenderaan Palang Merah yang membawa bekalan makanan dan air untuk pendatang.
Sebanyak 80,000 migran memasuki Ceuta dari Maghribi dalam satu kemasukan besar-besaran pada akhir bulan Julai termasuk ramai antara mereka berenang untuk sampai ke sana.
Sekurang-kurangnya 96 orang dilaporkan maut menurut angka rasmi.
Kebanyakan pendatang pulang ke Maghribi tidak lama selepas itu, namun beberapa ribu orang masih berada di Ceuta.
Pihak pembangkang konservatif Sepanyol menggesa supaya mereka dihantar pulang.
Bagaimanapun perjanjian antarabangsa dan keputusan mahkamah Sepanyol melarang pengusiran secara kolektif dan mewajibkan setiap kes dinilai secara individu.
Kanak-kanak dan remaja yang tidak ditemani penjaga berhak mendapat perlindungan khas.
Kira-kira 1,500 kanak-kanak dan remaja dipercayai berada dalam kalangan pendatang tersebut, dengan 500 daripadanya, terutamanya kanak-kanak perempuan, dianggap sangat terdedah kepada risiko dan dijadualkan untuk dipindahkan ke tanah besar Sepanyol.
Kerajaan berhaluan kiri pimpinan Perdana Menteri Pedro Sanchez kini berdepan tekanan hebat berhubung krisis itu, dengan pihak pembangkang menuduh kerajaan gagal bertindak dan membiarkan penduduk Ceuta tanpa pembelaan.
Kerajaan juga telah memberikan kenyataan yang bercanggah mengenai sama ada pihak berkuasa telah menerima amaran awal mengenai ketibaan besar-besaran itu.
Menteri Pertahanan Margarita Robles berkata CNI, agensi perisikan di bawah bidang kuasa kementeriannya, telah memberi amaran kepada pihak berkuasa sehari sebelum kemasukan tersebut berlaku.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Fernando Grande-Marlaska dan anggota kerajaan lain menegaskan tiada amaran diterima mengenai kemasukan pada skala sebesar itu.
Sanchez dijadual berucap di parlimen mengenai krisis tersebut minggu hadapan.
-- BERNAMA-dpa