Pertempuran baru meletus lagi di Hong Kong diantara penunjuk perasaan pro-demokrasi dan polis pencegah rusuhan pada Ahad memaksa pasukan keselamatan melepaskan semburan pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Namun berita baik apabila ketua penunjuk perasaan kumpulan pelajar yang menjadi peneraju tunjuk perasaan itu bersetuju untuk kembali menyambung rundingan dengan pihak kerajaan.

Semalam masuk hari ketujuh tunjuk perasaan secara aman diadakan dengan ribuan penunjuk perasaan berhimpun di daerah Admiralty, di tengah-tengah bandar Hong Kong sambil penunjuk perasaan melaungkan sorakan “Keamanan! Tolak keganasan!” dan mendendangkan lagu tema pro-demokrasi.

WAJAH PEMIMPIN 'REVOLUSI' PAYUNG HONG KONG

Namun suasana berbeza terpapar di daerah Mong Kok apabila ketegangan tercetus ekoran ada penunjuk perasaan yang mencabar polis dengan mendakwa pasukan itu bekerjasama dengan kumpulan samseng untuk menakut-nakutkan mereka.

Tindakan yang dibalas pihak polis dengan semburan pemedih mata.

Tunjuk perasaan berlangsung sepanjang hujung minggu ini dengan desakan agar kerajaan pusat di Beijing membenarkan penduduk di wilayah pentadbiran khas itu menamakan calon mereka untuk pemilihan pemimpin dalam pilihan raya 2017 nanti. Ini termasuk jawatan penting, Ketua Eksekutif Hong Kong.

Beijing bagaimanapun bertegas dengan mengatakan hanya calon yang mendapat kelulusan kerajaan pusat sahaja yang akan dibenarkan bertanding.

Pemimpin pelajar pada Ahad kembali berlembut dengan menyatakan persetujuan untuk membuka pintu rundingan denga pihak kerajaan, tetapi bersyarat.

Sementara itu di pihak kerajaan, mereka mendakwa kumpulan penunjuk perasaan itu telah mengkucar-kacirkan wilayah yang menjadi pusat kewangan itu.

Akhbar The People’s Daily yang sememangnya diketahui menjadi suara Parti Komunis dalam ruangan pengarangnya merujuk tunjuk perasaan itu sebagai ‘bermimpi di siang hari’ untuk mendapatkan perubahan.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying pula dalam satu siaran televisyen berkata, pihak kerajaan akan berusaha mematahkan tunjuk perasaan menjelang Isnin.

Leung turut berjanji keadaan akan kembali normal dan tujuh juta penduduk Hong Kong akan dapat meneruskan kehidupan seharian mereka.