PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang cuba menggunakan konflik di Asia Barat sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Advertisement
"Memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, kerajaan sentiasa peka dan memastikan setiap langkah yang diambil bertujuan untuk terus membela kehidupan rakyat tanpa membebankan mereka," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sara Hidup Negara (NACCOL), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata sebagai langkah segera dan responsif, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sara Hidup itu akan bersidang secara berkala berdasarkan keperluan semasa sepanjang tempoh krisis tenaga.
"Ini bagi memastikan setiap isu yang memberi kesan kepada rakyat dapat ditangani dengan pantas dan berkesan, tanpa berlengah," katanya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion pada tahun ini untuk bantuan sosial, subsidi serta insentif peningkatan pendapatan sebagai usaha berterusan membantu rakyat.
Beliau berkata antara inisiatif utama termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Jualan Rahmah serta subsidi bahan api dan sektor pertanian yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Dalam hal ini mengambil kira perkembangan konflik di Asia Barat, jumlah peruntukan subsidi kepada rakyat dijangka bertambah," katanya.
Ahmad Zahid berkata lebih 13.7 juta rakyat kini menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, kata beliau, lebih separuh menerima sekurang-kurangnya dua bentuk bantuan, manakala hampir satu pertiga terdiri daripada isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah.
"Ini membuktikan bahawa bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam, memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan serta memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih jelas, telus dan mudah difahami.
Beliau berkata rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat supaya dapat membuat keputusan yang terbaik dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan akan terus berdiri bersama rakyat dalam apa jua keadaan.
“Segala dasar dan langkah yang dilaksanakan adalah demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan kekal berpegang kepada pendekatan menyeluruh dengan dua fokus utama iaitu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan agar rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan bermaruah.
-- BERNAMA