Skip to main content

Dunia

Protes pelajar di Tirana bertukar ganas, bangunan kerajaan diserang

Seorang lelaki cuba melindungi dirinya daripada gas pemedih mata yang dilepaskan polis semasa protes antikerajaan yang dipimpin pelajar di Tirana, Albania. - Foto REUTERS
Seorang lelaki cuba melindungi dirinya daripada gas pemedih mata yang dilepaskan polis semasa protes antikerajaan yang dipimpin pelajar di Tirana, Albania. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Ribuan pelajar Albania mengadakan protes di ibu negara, menyerang beberapa bangunan kerajaan dan menuntut penambahbaikan universiti serta peluang pekerjaan lebih baik.
  • Protes bertukar ganas apabila bangunan kerajaan dibakar, polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
  • Kerajaan mengkritik tindakan ganas, 16 individu ditahan, sementara penunjuk perasaan menuntut perubahan menyeluruh dan mendakwa wujud rasuah serta kurang ketelusan pentadbiran.

TIRANA: Ribuan pelajar turun ke jalan raya di ibu negara Albania pada Rabu dan menyerang beberapa bangunan kerajaan dalam gelombang kedua protes antikerajaan yang semakin tegang.

Demonstrasi itu bermula di luar Kementerian Pendidikan pada Selasa dengan pelajar menuntut penambahbaikan kemudahan universiti serta peluang pekerjaan yang lebih baik.

Keadaan bertukar ganas apabila sebahagian bangunan kementerian berkenaan dibakar, manakala pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa premis perniagaan berhampiran turut menjadi sasaran.

Polis antirusuhan bertempur dengan kumpulan penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan orang ramai.

Timbalan Perdana Menteri Albania, Albana Kociu, menggesa semua pihak bertenang dan menunjukkan sikap matang, sambil menegaskan bahawa negara itu tidak perlu "dibakar untuk berubah".

Seorang penunjuk perasaan, Enida Bimi, berkata kemarahan rakyat bukan hanya mewakili pelajar tetapi seluruh rakyat Albania yang kecewa dengan keadaan semasa negara.

Menurutnya, rakyat marah terhadap sistem yang didakwa dicemari rasuah dan jenayah, serta menuntut perubahan menyeluruh.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Arber Leshi, mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Edi Rama adalah yang paling korup pernah disaksikan negara itu.

Bagaimanapun, kerajaan mengkritik tindakan sesetengah peserta protes, dengan Menteri Ekonomi Delina Ibrahimaj menyifatkan perbuatan membakar bangunan kerajaan sebagai tindakan berbahaya yang mengancam nyawa orang ramai.

Media kerajaan melaporkan 16 individu ditahan kerana terbabit dalam tindakan ganas semasa protes pada Selasa.

Protes yang diterajui pelajar itu menyusuli beberapa bulan demonstrasi antikerajaan yang dikenali sebagai "Revolusi Flamingo", yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Edi Rama.

Gelombang bantahan tersebut tercetus selepas pengumuman projek pelancongan mewah yang dikaitkan dengan Jared Kushner pada Mei lalu, yang mencetuskan kemarahan rakyat terhadap dakwaan rasuah dan kurangnya ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement