MENTERI Luar Sepanyol Jose Manuel Albares Bueno berkata penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk memastikan keamanan masa depan.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Palestin Muhammad Mustafa di Brussels pada Ahad, beliau mengulangi bahawa Sepanyol akan mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei, bersama-sama dengan Ireland.

“Sepanyol akan mengiktiraf Palestin pada Selasa ini, 28 Mei bersama dengan 143 negara lain di dunia yang melakukan perkara sama.

"Keputusan ini diambil bersama rakan Eropah lain seperti Ireland dan Norway, kerana kami percaya itu adalah cara untuk memastikan keamanan masa depan, kesejahteraan dan keselamatan di rantau itu, iaitu  dengan melaksanakan penyelesaian dua negara,”katanya.

Albares juga pengambil langkah drastik menghentikan pemberian lesen bagi aktiviti pengeksportan senjata ke Israel sejak 7 Okt 2023 lalu.

“Untuk mengelakkan perang daripada terus merebak, kami telah menghentikan lesen untuk eksport senjata ke Israel sejak 7 Okt dan kami telah menghalang kapal yang menuju ke Israel dan membawa senjata.

"Ini kerana, Asia Barat tidak memerlukan lebih banyak senjata. Ia tidak perlu, (ia hanya bawa) lebih banyak keganasan. Apa yang diperlukan ialah kedamaian,“ jelasnya lagi.

Ditanya berkenaan video yang disiarkan rakan sejawatannya dari Israel, Israel Katz, Menteri Luar Sepanyol itu menyifatkan ia satu skandal yang sangat teruk.

Video itu menunjukkan bendera Sepanyol dan kemudian seorang lelaki dan wanita yang menari sambil muzik kebangsaan Sepanyol dimainkan.