VIENNA:Menteri Dalam Negeri Austria, Karl Nehammer mendakwa, serangan pada malam Isnin di Vienna dilakukan oleh pengganas manakala seorang lagi masih bebas.

Penyerang yang maut dikenal pasti sebagai Kujtim Fejzulai, seorang yang pernah dijatuhi hukuman 22 bulan penjara pada April 2019 kerana bersubahat dengan militan Daish.

Dia diberikan pembebasan awal pada Disember di bawah undang-undang juvana.

Sementara itu, Canselor Austria, Sebastian Kurz memaklumkan, sekurang-kurangnya, lima orang maut termasuk Fejzulai, serta 14 lagi cedera dalam serangan tersebut.

Kurz dalam masa sama memberi amaran supaya mengelakkan perpecahan masyarakat susulan serangan itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mencari suspek yang masih bebas dan meminta orang ramai menghindari kawasan tengah bandar itu sebagai langkah keselamatan.

BACA: Tiga maut dalam serangan tembakan pengganas di Vienna

Serangan pada Isnin itu berlaku di enam lokasi yang berhampiran.

Ia turut berlaku hanya beberapa jam sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan secara berperingkat bagi mengekang koronavirus, dengan hotel, kafe dan restoran ditutup serta kawalan ke atas pergerakan bermula pada waktu malam.