Skip to main content

Dunia

Perancis buka siasatan kes bunuh Jamal Khashoggi didakwa libatkan Putera Mahkota Saudi

81599518730_JamalKhashoggi.jpg
Khashoggi, yang menetap di Amerika Syarikat dan menulis untuk The Washington Post, dilaporkan maut akibat dijerut sebelum mayatnya dikerat di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, pada tahun 2018. -Gambar fail

PARIS: Seorang hakim penyiasat di Perancis akan memulakan siasatan rasmi berhubung kes pembunuhan kejam wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, susulan aduan undang-undang yang difailkan beberapa kumpulan hak asasi manusia terhadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Pejabat Pendakwa Raya Antikeganasan Kebangsaan Perancis mengesahkan pembukaan kes itu hari ini, selepas bertahun-tahun melalui proses pertikaian perundangan mengenai bidang kuasa mahkamah negara berkenaan.

Hakim penyiasat daripada unit jenayah terhadap kemanusiaan telah diarah meneliti aduan yang difailkan atas dakwaan penyeksaan dan kehilangan paksa.

Tindakan perundangan itu digerakkan oleh organisasi Democracy for the Arab World Now (DAWN) dan Trial International semasa lawatan rasmi Mohammed bin Salman ke Perancis pada Julai 2022, sebelum disertai badan pemantau media, Reporters Without Borders (RSF).

Khashoggi, yang menetap di Amerika Syarikat dan menulis untuk The Washington Post, dilaporkan maut akibat dijerut sebelum mayatnya dikerat di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, pada tahun 2018.

Agensi perisikan pusat AS (CIA) sebelum ini menerbitkan laporan penilaian yang mempercayai bahawa pemimpin de facto Riyadh itu bertanggungjawab secara langsung dalam kes pembunuhan berkenaan, namun dinafikan beliau.

Mahkamah Rayuan Perancis dalam keputusan pada Isnin memihak kepada kumpulan hak asasi untuk meneruskan siasatan, meskipun pendakwa raya sebelum ini membantah pembukaan kes.

"Jenayah yang menimpa Jamal Khashoggi adalah satu kekejaman yang dirancang di peringkat tertinggi kerajaan Arab Saudi bagi menghapuskan suara wartawan pembangkang yang bebas," kata peguam yang mewakili RSF, Emmanuel Daoud, dalam laporan AFP.

Langkah perundangan ini dijangka menarik perhatian antarabangsa dan berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik di antara Perancis dan Arab Saudi ketika negara itu berusaha memperbaiki imej globalnya.

Must Watch Video