Perancis catat lebih banyak kematian berbanding kelahiran pada 2025

Pejabat statistik Perancis memaklumkan bahawa jumlah kelahiran adalah kira-kira 6,000 lebih rendah berbanding jumlah kematian sepanjang tahun 2025. - Gambar hiasan/Reuters
ISTANBUL: Perancis merekodkan jumlah kematian melebihi kelahiran pada 2025 buat pertama kali sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, menurut laporan yang diterbitkan oleh Institut Statistik dan Kajian Ekonomi Kebangsaan (INSEE), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pejabat statistik itu pada Selasa memaklumkan bahawa jumlah kelahiran adalah kira-kira 6,000 lebih rendah berbanding jumlah kematian sepanjang tahun itu.
Dianggarkan seramai 645,000 bayi dilahirkan pada 2025, turun daripada 660,000 pada 2024, iaitu penurunan sebanyak 2.1 peratus. Berbanding 2010, iaitu tahun kelahiran mencapai kemuncak terakhir, jumlah bayi yang dilahirkan berkurang sebanyak 24 peratus, menurut INSEE.
Jumlah kematian mencecah kira-kira 651,000 pada 2025, mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan itu terutamanya dikaitkan dengan wabak influenza musim sejuk yang teruk pada awal tahun, menurut institut berkenaan.
Walaupun berlaku imbangan semula jadi negatif, populasi Perancis terus mencatat pertumbuhan kecil, didorong oleh migrasi bersih yang dianggarkan secara sementara seramai 176,000 orang pada 2025.
Setakat 1 Jan 2026, jumlah penduduk negara itu dianggarkan kira-kira 69.1 juta, termasuk 66.8 juta di metropolitan Perancis dan 2.3 juta di wilayah seberang laut.
INSEE turut melaporkan penurunan berterusan kadar kesuburan keseluruhan, yang merosot kepada 1.56 anak bagi setiap wanita pada 2025 berbanding 1.61 pada tahun sebelumnya, antara tahap terendah yang direkodkan sejak Perang Dunia Pertama.
Jangka hayat ketika lahir meningkat sedikit kepada 85.9 tahun bagi wanita dan 80.3 tahun bagi lelaki, kekal melebihi purata Kesatuan Eropah, menurut data terkini sedia ada.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


