Pasukan tentera milik Amerika Syarikat, Perancis dan Britain melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Syria pada Sabtu.

Tindakan tersebut susulan serangan kimia di negara itu minggu lalu yang mengorbankan puluhan orang awam.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, dia telah mengarahkan serangan secara spesifik terhadap kemudahan senjata kimia rejim Bashar al-Assad.

Tambahnya, serangan itu akan diteruskan sehingga Syria menghentikan penggunaan senjata kimia dalam perang saudara negara itu.

"Saya telah mengarahkan pasukan tentera AS melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran membabitkan kemudahan senjata kimia milik diktator Syria Bashar al-Assad.

"Serangan kimia minggu lalu bukan tindakan manusia yang waras tetapi satu jenayah kemanusiaan," katanya dalam siaran secara langsung dari White House.

Menurut pegawai White House, serangan tersebut tertumpu kepada beberapa sasaran dan melibatkan penggunaan peluru berpandu Tomahawk.

Sekurang-kurangnya enam letupan besar didengar di Damsyik awal pagi Sabtu dan asap tebal dapat dilihat di bandar di Syria.



Peluru berpandu dilihat di udara Damsyik pada awal pagi Sabtu, 14 April 2018. - Foto Reuters/Feras Makdesi

Seorang saksi berkata daerah Barzah di Damsyik yang merupakan antara pusat kajian bagi saintis di Syria antara yang menjadi sasaran dalam serangan udara tersebut.

Trump juga sebelum ini juga mengutuk tindakan Rusia dan Iran yang didakwa bersekongkol dengan Bashar al-Assad.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Theresa May berkata beliau telah mengarahkan angkatan tentera British untuk melakukan serangan bagi melemahkan keupayaan senjata kimia rejim Syria.

Menerusi kenyataan sama, May menyifatkan serangan yang berskala kecil itu adalah bagi mengurangkan kecederaan orang awam.

Tindakan tersebut juga katanya tidak berhasrat untuk mengubah atau campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan Syria.