Skip to main content

Dunia

Perancis keluar amaran risiko tinggi kebakaran hutan di 27 wilayah

A wildfire burns in Noisy-sur-Ecole near Fontainebleau, southern Paris, France, July 12, 2026. REUTERS/Benoit Tessier
Amaran itu dikeluarkan susulan cuaca panas dan kemarau yang mencetuskan kebakaran di wilayah selatan Var, Corsica serta Loire-Atlantique di barat negara itu. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Perancis mengeluarkan amaran risiko "tinggi" kebakaran hutan di 27 wilayah pentadbiran pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.

Amaran itu dikeluarkan susulan cuaca panas dan kemarau yang mencetuskan kebakaran di wilayah selatan Var, Corsica serta Loire-Atlantique di barat negara itu.

Penyiar TF1 yang memetik Meteo-France melaporkan amaran itu meliputi semua wilayah pentadbiran di Pays de la Loire, selain Gironde, Haute-Garonne, Aude, Herault, Gard, Bouches-du-Rhone, Vaucluse, Drome, Var dan Haute-Corse.

Enam wilayah di selatan Perancis turut kekal berada di bawah amaran gelombang haba tahap jingga.

Di Var, kebakaran besar yang bermula di Taradeau pada petang Ahad memusnahkan hampir 200 hektar kawasan tumbuhan dan menjejaskan kira-kira 10 rumah di mukim berhampiran, Les Arcs-sur-Argens.

Kira-kira 150 penduduk dipindahkan manakala sekitar 20 lagi masih ditempatkan di sekolah Helene Vidal di Les Arcs pada Isnin.

Datuk Bandar Marcel Florent, menyifatkan kebakaran berkenaan melanda "seperti bola api", dengan lebih 600 anggota bomba digerakkan pada petang Ahad untuk memadamkan kebakaran.

Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran itu masih belum dapat dikawal sepenuhnya setakat lewat Ahad, walaupun keadaan menunjukkan perkembangan yang lebih baik. Bomba berjaya menyelamatkan lebih 60 rumah, sementara operasi diteruskan sepanjang malam bagi memadamkan saki-baki titik panas.

Kebakaran itu turut menyebabkan pembatalan dan kelewatan perkhidmatan kereta api di kawasan berkenaan.

Di Loire-Atlantique, kebakaran tumbuhan di bandar Trignac memusnahkan sekurang-kurangnya empat rumah dan membakar kawasan seluas 21.7 hektar, sekali gus menyebabkan isi rumah daripada 92 kediaman dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kebakaran itu berjaya dikawal selepas 250 anggota bomba dengan 80 kenderaan digerakkan ketika operasi berada pada kemuncaknya. Seramai 60 orang ditempatkan sementara di sebuah pusat pemindahan di bandar itu.

Sementara itu, dua kebakaran yang berpunca daripada panahan petir seminggu lalu berhampiran Albertacce dan Corte di Haute-Corse memusnahkan kira-kira 400 hektar kawasan dan masih merebak di kawasan pergunungan yang sukar diakses pasukan kecemasan.

Meteo-France memaklumkan beberapa wilayah pentadbiran dijangka berdepan risiko kebakaran hutan pada tahap sangat tinggi pada Selasa berikutan angin mistral bertiup semakin kencang di tenggara Perancis.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement