PERANCIS pada Khamis mengutuk keganasan oleh peneroka Israel di Tebing Barat dan menyifatkannya sebagai "dasar keganasan" yang bertujuan untuk memindahkan penduduk Palestin.

Perancis turut menggesa pihak berkuasa Israel melindungi rakyat Palestin daripada keganasan.

Angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan serangan tentera Israel setiap hari meningkat lebih daripada dua kali ganda, sejak 7 Oktober.

Menurut Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Anne-Claire Legendre, Perancis mengecam keras keganasan yang dilakukan penceroboh Israel terhadap Palestin.

"Keganasan itu mempunyai objektif jelas iaitu pemindahan paksa rakyat Palestin dan dasar keganasan," katanya pada satu sidang media.

Tambah beliau, pihak berkuasa Israel perlu mengambil langkah yang perlu untuk melindungi penduduk Palestin dan memberi amaran bahawa tindakan itu menjejaskan usaha penyelesaian dua negara.

Sementara itu, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, mengulangi kenyataan kebimbangan tentang peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Beliau berkata, adalah jelas bahawa pendudukan Israel mesti ditamatkan.

Menurut data PBB, tahun ini menjadi tahun paling buruk dalam tempoh 15 tahun bagi penduduk di Tebing Barat dengan kira-kira 200 rakyat Palestin terbunuh.

Hanya dalam tempoh tiga minggu sejak 7 Oktober, lebih 120 rakyat Palestin Tebing Barat telah terbunuh.

Pertempuran dengan tentera Israel telah menjadi penyebab kepada kebanyakan kematian.

Israel menceroboh Tebing Barat dalam perang Asia Barat 1967 dan sejak itu ia berada di bawah pendudukan tentera, manakala penempatan haram Israel secara konsisten berkembang.

Rakyat Palestin menuntut Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara mereka termasuk Gaza dan Baitulmaqdis Timur.

Dalam pada itu, Legendre berkata, kira-kira separuh daripada 100 tan bantuan yang dihantar Perancis ke Gaza telah memasuki kawasan itu.

Beliau turut menyatakan keputusan bukan terpulang kepada Israel untuk memutuskan tadbir urus Gaza pada masa hadapan yang menurutnya harus menjadi sebahagian daripada negara Palestin masa depan.