Ringkasan AI
- Kecerdasan buatan (AI) memudahkan penjenayah melaksanakan taktik sedia ada seperti penipuan dan kecurian data dengan kos serta sumber lebih rendah.
- Laporan Anthropic mendedahkan penyalahgunaan AI, termasuk operasi komersial menyasarkan pengundi di Malaysia, namun tiada bukti kandungan sampai kepada masyarakat.
- Pengujian keselamatan AI dalam Bahasa Melayu sedang dijalankan, manakala Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI dijangka dibentang sekitar 2027.
KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) tidak mencipta jenayah baharu, tetapi membolehkan taktik sedia ada dilakukan dengan kos lebih rendah dan sumber yang lebih kecil.
Pengarah Inovasi AI Malaysia, Mohd Alhafidz Yahya berkata, perubahan itu dapat dilihat dalam kegiatan seperti penipuan (scam), pancingan data (data phishing) dan kecurian data.
“Kerja yang dulu mungkin kita perlukan satu sindiket besar, satu pusat panggilan, sekarang individu boleh buat perkara-perkara seperti ini,” katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI yang disiarkan hari ini.
Menurutnya, AI juga membolehkan penjenayah menghasilkan kandungan yang lebih meyakinkan dan disesuaikan dengan individu yang menjadi sasaran.
Keupayaan meniru suara dan wajah pula menyebabkan kaedah penipuan semakin sukar dikenal pasti berbanding sebelum ini.
“Dulu mungkin dengan Bahasa Melayu mesej itu agak berterabur. Tapi bila ada AI, penggunaan Bahasa Melayu dilihat semakin lancar dan lebih bersasar… Hari ini suara, wajah semua boleh ditiru dengan beberapa saat,” kataya.
Alhafidz berkata, risiko berkenaan turut melibatkan syarikat dan organisasi, terutama apabila penjenayah menyamar sebagai individu tertentu untuk mengarahkan pemindahan wang.
Pendedahan Anthropic tunjuk ancaman boleh dikesan
Mengulas laporan Anthropic, Alhafidz berkata, pendedahan syarikat itu menunjukkan penyalahgunaan AI boleh dikenal pasti sebelum kesannya menjadi lebih besar.
Laporan berkenaan memperincikan bagaimana produknya disalahgunakan serta tindakan yang diambil untuk menghentikan kegiatan tersebut.
“Tidak semua organisasi telus dalam mendedahkan perkara-perkara yang sebegini,” katanya.
Antara yang didedahkan ialah satu operasi komersial menggunakan AI yang menyasarkan pengundi di Malaysia.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan pihak yang menempah atau membiayai operasi berkenaan, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mendapatkan maklumat lanjut.
Alhafidz berkata, setakat maklumat yang didedahkan, tiada bukti menunjukkan kandungan daripada operasi itu sampai kepada masyarakat yang disasarkan.
“Tapi semua perkara yang disebutkan ini menunjukkan dan memberi peringatan kepada kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Keselamatan AI perlu diuji dalam bahasa Melayu
Dalam aspek keselamatan pula, tahap kawalan sesebuah sistem AI boleh berbeza mengikut bahasa kerana jumlah pengujian yang dilakukan tidak semestinya sama.
Alhafidz berkata, keadaan itu menyebabkan sistem yang mempunyai kawalan kukuh dalam bahasa Inggeris belum tentu memberikan tahap perlindungan sama apabila digunakan dalam bahasa Melayu.
“Bahasa Inggeris mungkin sebab ada banyak pengujian dan sebagainya, ia lebih kuat tetapi bahasa Melayu mungkin longgar,” katanya lagi.
Atas sebab itu, AI Safety Institute atau My AI SAFE di bawah AI Malaysia ditugaskan menguji model dan sistem AI termasuk penggunaannya dalam bahasa Melayu.
Pengujian itu bagi memastikan sistem berkenaan memenuhi tahap keselamatan yang ditetapkan sebelum dinilai sesuai untuk digunakan.
Dalam masa sama, kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI selepas proses konsultasi awam selesai.
Alhafidz berkata, rang undang-undang berkenaan dijangka dibentangkan sekitar 2027 bagi menetapkan asas terhadap pembangunan dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.