MUSCAT: Lima warga India berjaya dipindahkan dengan selamat ke Oman selepas kapal tangki minyak berbendera Kuwait tempat mereka bekerja diserang projektil ketika melalui Selat Hormuz.
Kedutaan India di Muscat memaklumkan kelima-lima kru berkenaan dibawa ke darat dengan bantuan pihak berkuasa Oman dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
Dalam satu kenyataan, misi diplomatik India turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Oman atas bantuan yang diberikan dalam operasi menyelamat terbabit.
Kapal yang dikenali sebagai MT Kazimah III, sebuah kapal pengangkut minyak mentah bersaiz sangat besar (VLCC), dilaporkan terbakar selepas terkena serangan semasa dalam pelayaran.
Diplomat India di Oman bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaraskan usaha menyelamat kecemasan terhadap lima anak kapal terbabit.
MT Kazimah III dimiliki Kuwait Oil Tanker Company (KOTC), syarikat perkapalan minyak milik Kuwait.
Serangan terhadap MT Kazimah III merupakan insiden kedua melibatkan kapal tangki besar KOTC dalam tempoh kurang seminggu selepas sebuah lagi kapal syarikat itu, Al Funtas, dilaporkan turut menjadi sasaran serangan serupa.
Insiden berkenaan berlaku ketika serangan menggunakan projektil dan dron terhadap kapal komersial serta kapal tangki minyak dilaporkan semakin meningkat di perairan strategik Timur Tengah, khususnya di sekitar Selat Hormuz.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengumumkan pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap kapal tersebut.