INTERNATIONAL
Perang dagangan AS-China: Implikasi jangka panjang ekonomi ASEAN, khususnya Malaysia

Trump memberi tumpuan kepada membentuk semula rantaian bekalan global dan merungkai perkara yang dilihatnya sebagai amalan perdagangan tidak adil. - AP
Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang bermula pada 2018 di bawah dasar "America First" oleh Presiden Donald Trump terus memberi kesan kepada dinamik perdagangan global dengan akibat yang jauh meluas terhadap ekonomi ASEAN termasuk Malaysia.
Kembalinya Trump pada 2025, beliau berhasrat untuk menghidupkan semula agenda "Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi" dengan memberi tumpuan kepada membentuk semula rantaian bekalan global dan merungkai perkara yang dilihatnya sebagai amalan perdagangan tidak adil.
Ketika ketegangan semakin memuncak, terutamanya dengan pengenaan tarif 104 peratus baru-baru ini ke atas barangan China, pakar bagaimanapun sedang menimbang potensi kesan ekonomi jangka panjang bagi rantau ini.
Bekas Profesor dan Provos Malaysia University of Science and Technology, Geoffrey Williams berkata, sejak 2018, terdapat peralihan yang ketara dalam pelaburan China ke arah negara ASEAN dengan China memindahkan sebahagian daripada pengeluarannya bagi mengelak tarif yang dikenakan AS."Namun, peralihan ini tidak berlaku tanpa cabaran. Negara seperti Vietnam dan Kemboja mengalami kesan langsung daripada tarif timbal balik AS yang semakin merumitkan persekitaran perdagangan di Asia Tenggara.
"Pemindahan pengeluaran China mungkin tidak akan kekal sebagai pilihan yang menarik bagi ASEAN kerana rantau ini terus berdepan dengan tindak balas tarif terutamanya daripada AS," kata Williams yang juga Pengasas dan Pengarah Business Consultancy Sdn Bhd kepada Bernama.
Kesan Terhadap Sektor Pembuatan dan Eksport Malaysia
Ekonomi Malaysia terutamanya sektor pembuatan dan eksport mungkin mengalami kesan langsung dan tidak langsung daripada konflik perdagangan ini, kata Williams.
Beliau menegaskan walaupun harga eksport Malaysia terutamanya dalam minyak sawit dan elektronik kekal tidak terjejas dalam pasaran global, namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila mempertimbangkan pasaran AS.
"Malaysia tidak mengeksport sejumlah besar produk automotif ke AS. Selain itu, harga minyak sawit ditentukan oleh pasaran global dan bukannya secara langsung oleh perjanjian perdagangan dua hala.
"Untuk kes bagi semikonduktor, Malaysia dikecualikan daripada tarif AS yang merupakan faktor positif untuk negara," katanya.
Bagaimanapun, produk elektronik Malaysia yang lain mungkin berdepan cabaran apabila syarikat-syarikat dikatakan berunding dengan rakan rantaian bekalan bagi mengharungi kesan tarif tersebut, kata Williams.
Beliau menekankan walaupun tarif boleh menimbulkan masalah, ia boleh dirundingkan melalui perjanjian dua hala atau perjanjian di seluruh ASEAN.
"Cabaran sebenar terletak pada halangan bukan tarif yang semakin menjadi halangan besar kepada perdagangan yang lancar," katanya.
Risiko Kemelesetan Global
Menurut Williams dengan peningkatan tarif terbaharu dalam perang perdagangan AS-China, wujud kebimbangan mengenai kemelesetan global yang berpotensi semakin meningkat.
Bagaimanapun, katanya kemelesetan global tidak mungkin berlaku melainkan China menjadi satu-satunya negara yang terlibat dalam perang perdagangan tersebut.
Dalam senario sedemikian, beliau berkata seluruh dunia sebenarnya boleh mendapat manfaat sekiranya terdapat penyelesaian yang dirundingkan sekali gus membawa kepada penghapusan halangan perdagangan serta langkah perdagangan bebas.
"Kunci untuk mencegah kemelesetan terletak pada diplomasi dan merundingkan semula halangan perdagangan.
"Jika AS dan China dapat mencari titik persamaan, ekonomi global termasuk negara ASEAN seperti Malaysia, kemungkinan dapat melihat peningkatan yang ketara," kata Williams.
Dilaporkan Malaysia akan menghantar pegawainya ke Washington hujung April ini untuk memulakan proses dialog dengan AS mengenai tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini merupakan sebahagian daripada diplomasi lembut Malaysia melalui penglibatan secara senyap.
"Kami akan menghantar pegawai kami ke Washington untuk memulakan proses dialog. Mungkin terdapat ruang yang terhad untuk menilai semula niat asasnya, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan pelaksanaan dasar tersebut," kata beliau.
Williams berkata ketika perang perdagangan berlanjutan, ekonomi ASEAN termasuk Malaysia perlu kekal tangkas dengan memberi tumpuan kepada kepelbagaian rakan dagang selain memperkukuh hubungan ekonomi serantau.
"Walaupun pertikaian AS-China terus menimbulkan cabaran, daya tahan ekonomi Malaysia dan rundingan berterusan boleh membantu mengurangkan kesan tarif yang meningkat terhadap industri utama," katanya.
Dalam jangka panjang, landskap perdagangan global mungkin berubah dengan ketara, tetapi dengan pendekatan yang seimbang.
Malaysia dan rakan-rakan ASEAN boleh mengharungi waktu bergelora ini dengan kestabilan yang relatif, katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami