Skip to main content

Dunia

Perang Iran telan AS$38 bilion, stok peluru berpandu AS kian menyusut

The Pentagon is seen from the air, Tuesday, Sep 8, 2026, in Washington (Photo: AP/Julia Demaree Nikhinson)
Bangunan Pentagon yang dirakam dari udara di Washington, Amerika Syarikat. - Foto AP
Advertisement

WASHINGTON: Konflik bersenjata dengan Iran telah menelan belanja kira-kira AS$38 bilion kepada tentera Amerika Syarikat (AS) setakat 1 Ogos lalu, menurut laporan Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) yang diterbitkan pada Selasa.

Agensi bebas dan tidak berpihak itu memaklumkan kos peperangan berkenaan dijangka terus meningkat sebanyak antara AS$2 bilion hingga AS$3 bilion sebulan, bergantung kepada tahap intensiti konflik.

Menurut laporan itu, perang yang tercetus susulan serangan bersama AS dan Israel terhadap Iran sejak penghujung Februari lalu telah memberi tekanan besar terhadap kewangan Jabatan Pertahanan AS.

Kos keseluruhan tersebut merangkumi penggantian peluru dan peralatan ketenteraan yang digunakan atau musnah dalam pertempuran, selain peningkatan kos bahan api bagi operasi ketenteraan.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$21.7 bilion dibelanjakan untuk menggantikan munisi yang digunakan sepanjang konflik, menjadikannya komponen perbelanjaan terbesar yang ditanggung Pentagon.

CBO turut memberi amaran bahawa konflik berkenaan menyebabkan penyusutan ketara dalam stok pemintas sistem pertahanan peluru berpandu AS.

Menurut analisis badan itu, AS dipercayai telah menggunakan antara separuh hingga dua pertiga daripada keseluruhan inventori munisi pertahanan peluru berpandu yang diperolehnya sejak Jun 2025.

Keadaan itu berpotensi menjejaskan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Laporan berkenaan disediakan atas permintaan ahli kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Belanjawan Dewan Perwakilan, Brendan Boyle, bersama beberapa penggubal undang-undang Demokrat yang lain.

Pada Julai lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menganggarkan kos perang dengan Iran mencecah AS$37.5 bilion.

Selain kesan terhadap ketenteraan, CBO menjelaskan, konflik itu turut memberi tekanan kepada ekonomi AS melalui peningkatan inflasi susulan gangguan bekalan minyak dan gas asli.

Semasa konflik berlangsung, Iran bertindak menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi utama perdagangan minyak global, sekali gus menyebabkan harga tenaga melonjak.

Menurut unjuran terkini CBO, kadar inflasi pada suku pertama tahun hadapan dijangka meningkat sebanyak 0.5 mata peratusan berbanding anggaran yang dibuat pada Februari lalu berdasarkan Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE).

Malah, inflasi teras yang tidak mengambil kira komponen makanan dan tenaga yang lebih tidak menentu dijangka meningkat 0.3 mata peratusan berbanding ramalan terdahulu.

Laporan itu turut menjangkakan kadar inflasi yang lebih tinggi akan menyebabkan peningkatan kadar faedah bagi sekuriti Perbendaharaan AS, sekali gus menambah tekanan terhadap kos pembiayaan kerajaan negara itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement