KUALA LUMPUR: Pergerakan trafik di kebanyakan lebuh raya utama negara terkawal pagi ini meskipun peningkatan jumlah kenderaan sempena sambutan Deepavali menyebabkan beberapa laluan mengalami kelembapan.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata keadaan itu antaranya dikesan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan membabitkan laluan dari Nilai ke Bandar Ainsdale.
Setakat 9.52 pagi, aliran trafik di laluan berkenaan bergerak perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pula, kesesakan sepanjang 3.1 kilometer dilaporkan berlaku dari Bentong menuju Karak.
Menurut Bernama, keadaan itu berpunca daripada kemalangan yang menyebabkan lorong kanan tidak dapat digunakan, sekali gus menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 32 lorong pintar diaktifkan di beberapa lebuh raya utama di seluruh negara bagi membantu mengurus peningkatan jumlah kenderaan sepanjang musim perayaan.
LLM turut mengingatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal, memandu secara berhemah serta mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan lain.
Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian hotline LLM 1800-88-7752 yang beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam, selain melalui laman sesawang dan platform media sosial rasmi agensi itu.