SELEPAS tujuh hari berkempen, persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin memasuki fasa penentuan.
Persoalan utama kini tertumpu kepada sejauh mana kekuatan jentera, pengaruh calon dan tawaran parti mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi pada 14 November ini.
Dalam tempoh berbaki beberapa hari, persaingan bukan lagi semata-mata soal siapa mempunyai manifesto paling menarik atau jentera paling besar.
Tetapi, siapa yang mampu meyakinkan pengundi bahawa calon mereka benar-benar memahami denyut nadi setempat.
Dengan sebahagian pengundi masih belum membuat keputusan, persoalannya kini adakah PRN Melaka akan mengekalkan peta politik sedia ada atau menyaksikan beberapa kerusi panas berubah tangan pada saat akhir?
Seramai 79 calon disahkan bertanding dengan 11 DUN menyaksikan pertandingan dua penjuru, 11 DUN tiga penjuru, manakala enam DUN empat penjuru.
Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) di 23 kerusi.
Parti Bersama Malaysia (Bersama) bertanding di 16 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di tujuh kerusi, Perikatan Nasional (PN) di lima kerusi, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di satu kerusi dan tiga calon Bebas.
Jika diibaratkan suasana di kedai kopi, BN mungkin berada di meja yang paling ramai pelanggan. Namun, jumlah pelanggan belum tentu bermakna semua akan 'membayar bil' yang sama.
BN membawa kelebihan sebagai penyandang, selain tidak berdepan pertembungan dengan PN di mana-mana kerusi, satu keadaan yang membuka ruang kepada penyatuan sokongan dalam menghadapi PH.
Namun persoalannya, adakah kerjasama BN-PN benar-benar sudah sebati di peringkat akar umbi, atau masih ada penyokong yang memilih untuk menyimpan undi masing-masing?
'Resepi asam pedas Melaka'
Kalau datang ke Melaka tidak sah, jika tak menikmati asam pedas. Ibarat meramu asam pedas Melaka, kekuatan setiap bahan perlu digabungkan dengan tepat.
Begitu juga BN-PN, yang perlu memastikan persefahaman di peringkat kepimpinan benar-benar diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berpandangan, berdasarkan pemerhatian di lapangan, BN mempunyai kelebihan dari segi prestasi pentadbiran, pendekatan kepimpinan yang mendekati rakyat serta persefahaman politik dengan PN.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan PRN kali ini tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah bendera, kekuatan ceramah atau saiz jentera kerana setiap kawasan mempunyai komposisi pengundi dan sentimen politik tersendiri.
Tawfik menambah BN mempunyai kelebihan sebagai parti penyandang, khususnya di kawasan luar bandar dan jajaran Alor Gajah yang menyaksikan penguasaan tradisi parti itu sejak sekian lama.
Selain itu, pendekatan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menekankan hubungan langsung dengan rakyat turut menjadi antara faktor membantu BN mengekalkan pengaruhnya.
"Apabila pemimpin dekat dan bersama-sama ataupun 'mingle' dengan rakyat, maka itulah sebenarnya keperluan ataupun kemahuan rakyat yang mahu melihat pemimpin itu dekat bersama dengan rakyat.
"Kekuatan pengurusan pentadbiran peringkat tempatan, peringkat negeri yang dekat dengan rakyat dan dipercepatkan urusan misalnya aduan, pembaikan atau apa sahaja melibatkan kepentingan rakyat, itu kunci utama kepada kepuasan hati dan keselesaan rakyat," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Pada masa sama, menurutnya kerjasama BN-PN dilihat berpotensi memberikan kesan besar kepada keputusan di beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti tipis.
Tawfik berkata sekurang-kurangnya 13 kerusi BN pada PRN lalu dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi, sekali gus membuka ruang kepada gabungan undi kedua-dua blok untuk meningkatkan kelebihan tersebut.
"Apabila ada satu persefahaman politik yang begitu pesat antara PN dengan BN, maka majoriti yang sebelum ini tipis dalam PRN yang lalu, pada kali ini saya menjangkakan akan berlipat kali ganda," katanya.
Beliau mengunjurkan BN-PN berpotensi memperoleh sekurang-kurangnya 24 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN Melaka ke-15.
Namun, persoalan yang masih perlu dijawab ialah sejauh mana penyokong kedua-dua gabungan itu bersedia menerima perubahan landskap politik dan memindahkan sokongan kepada calon yang mewakili rakan kerjasama mereka?
Bersama dan Bersatu: Masuk gelanggang belum bermakna mampu menguasai
Jika BN-PN dilihat mempunyai kelebihan dari segi gabungan jentera dan pengalaman, Bersama serta Bersatu pula berdepan cabaran membuktikan bahawa kehadiran mereka bukan sekadar menambah bilangan calon dalam pertandingan.
Dalam manifestonya, Bersama memilih tema 'Dulu kancil pilih Melaka, kini Melaka pilih kancil'.
Adakah simbol sejarah Hang Tuah dan kisah kebijaksanaan Sang Kancil mampu diterjemahkan kepada keyakinan pengundi terhadap Bersama?
Atau, Bersama sekadar memanfaatkan nostalgia dan identiti Melaka menerusi simbol kancil, atau mempunyai gagasan baharu yang benar-benar menjawab keperluan rakyat?
Mengulas perkara itu, Tawfik berpandangan Bersama yang bertanding di 16 kerusi masih memerlukan tempoh lebih panjang untuk membina pengaruh dan memperkenalkan jenama politiknya kepada pengundi.
"Ini bukan sebenarnya satu platform ataupun tapak politik mereka untuk mendapat kemenangan yang besar.
"Sekurang-kurangnya dapat memasarkan jenama ataupun produk politik Bersama supaya lebih dikenali oleh rakyat, oleh pengundi-pengundi," kongsinya.
Beliau turut membangkitkan kelemahan jentera parti itu berdasarkan pemerhatian ketika kempen di DUN Rembia, apabila calon Bersama dilihat bergerak bersendirian mengedarkan risalah tanpa sokongan jentera yang ketara.
Malah, beliau berpandangan agak sukar untuk Bersama memenangi mana-mana kerusi dalam PRN kali ini berdasarkan kekuatan jentera yang diperhatikannya.
Bagi Bersatu pula, cabaran lebih besar ialah memulihkan jenama politik Melayu, yang menurut Tawfik semakin kehilangan daya tarikan, khususnya selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
"Jenama politik Melayu yang dibawa oleh Parti Bersatu itu semakin hari semakin surut," katanya.
Tuturnya lagi, keputusan PH memberikan ruang kepada Bersatu bertanding di beberapa kerusi yang dikosongkan gabungan itu bertujuan menjadikan parti berkenaan sebagai jambatan untuk menarik sokongan Melayu.
Kerusi panas: Bukit Katil, Gadek, Paya Rumput jadi ujian sebenar?
Walaupun BN dilihat mempunyai kelebihan keseluruhan, beberapa kerusi berpotensi menjadi medan paling getir dan mengubah jangkaan awal.
Tawfik antaranya menyenaraikan Bukit Katil, Gadek, Paya Rumput dan Ayer Keroh sebagai kawasan yang perlu diberikan perhatian kerana faktor calon, komposisi pengundi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong parti.
Di Gadek, isu penerimaan calon MIC dalam kalangan sebahagian penyokong UMNO menjadi cabaran kepada BN, terutama apabila kawasan itu mempunyai kira-kira 22 peratus pengundi India.
"Masih lagi saya dengar ada rungutan ataupun ketidakselesaan dalam kalangan penyokong ataupun ahli-ahli parti khususnya pada BN tentang mengetengahkan calon bukan daripada UMNO itu sendiri," katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat usaha memulihkan keadaan sedang dilakukan oleh jentera BN bagi memastikan ketidakpuasan hati pada peringkat awal tidak menjejaskan sokongan ketika pengundian.
Di Paya Rumput pula, kemunculan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai calon PH dijangka memberikan saingan kepada BN, khususnya selepas penyandangnya Datuk Rais Yasin berpindah bertanding di Sungai Udang.
Bukit Katil pula menjadi tumpuan apabila PH berdepan PN dalam mempertahankan kerusi yang disandang Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka.
Tawfik berkata simulasi berdasarkan keputusan PRN lalu menunjukkan kemungkinan pemindahan undi BN kepada PN boleh memberikan kelebihan kepada calon gabungan itu.
"Sudah semestinya PH tidak mahu kehilangan kali kedua ataupun peristiwa kali kedua berlakunya kekalahan tokoh mereka seperti mana yang pernah berlaku di DUN Chennah dalam PRN Negeri Sembilan.
"Ini memberikan satu gambaran yang tidak baik kepada PH, bagaimana 'panglima politik perang' mereka itu tewas di kerusi-kerusi yang sebelum ini memang merupakan kubu ataupun penyandang kepada kawasan-kawasan berkenaan," ujarnya lagi.
Ayer Keroh pula memperlihatkan persaingan lebih dinamik apabila perubahan komposisi pengundi, khususnya pertambahan pengundi Melayu dan pengurangan pengundi Cina, berpotensi mempengaruhi keputusan.
"Ketidaktentuan politik ini mahupun di saat-saat akhir akan memberikan kelebihan kepada parti politik yang berjaya menarik sokongan ataupun menyentuh emosi pengundi di kawasan berkenaan," katanya.
Kelesuan politik: Bendera kurang, tetapi undi belum tentu hilang
Satu lagi perkara menarik dalam PRN kali ini ialah suasana kempen yang dilihat lebih tenang berbanding beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.
Namun, Tawfik berpandangan keadaan itu tidak semestinya menggambarkan pengundi sudah hilang minat terhadap politik, sebaliknya sebahagian masyarakat semakin mengalami kelesuan akibat kekerapan pilihan raya dan lambakan maklumat politik.
"Apabila banyak maklumat berkaitan dengan politik, politik yang berlambak ataupun dilambakkan dalam masyarakat, maka kelesuan politik itu akan semakin meningkat," katanya.
Menurutnya, pemerhatian di lapangan turut memperlihatkan jurang penglibatan antara pengundi muda dengan golongan veteran, khususnya dalam menghadiri program kempen secara fizikal.
Bagaimanapun, beliau berpandangan keadaan itu tidak semestinya menjejaskan peratusan keluar mengundi kerana masyarakat masih mengikuti perkembangan politik melalui platform digital.
Malah, pengundi luar kawasan atau 'outstation voters' juga dijangka memainkan peranan, khususnya mereka yang pulang ke Melaka secara mingguan.
Apa rakyat Melaka mahu? Keselesaan, bukan sekadar bangunan pencakar langit
Di sebalik segala percaturan politik dan perebutan kerusi, persoalan paling besar ialah sama ada parti yang bertanding benar-benar memahami apa yang dimahukan rakyat Melaka.
Tawfik berpandangan keutamaan pengundi di negeri itu tidak boleh disamakan dengan negeri lain kerana mereka lebih mengutamakan keselesaan hidup, kos kehidupan yang munasabah dan penambahbaikan kemudahan setempat berbanding pembangunan mega.
"Rakyat mahukan keselesaan hidup mereka. Dan yang kedua, kita sebagai pemerhati politik tidak boleh bawa sentimen luar itu sama dan masuk ke Negeri Melaka... kemudian kita katakan itulah yang dimahukan oleh pengundi Melaka, itu sebenarnya silap.
"Dan, apa yang boleh dilakukan selepas ini oleh kerajaan yang menyandang ataupun kerajaan yang mentadbir, mereka boleh 'maintain', misalnya elemen kebersihan," katanya.
Melaka juga, katanya masih mempunyai kelebihan dari segi kos makanan dan perumahan berbanding kawasan Lembah Klang, sekali gus menjadikan usaha mengekalkan kualiti kehidupan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian kerajaan negeri.
Beliau turut memberikan penilaian sembilan daripada 10 bintang terhadap aspek kebersihan negeri itu, namun berkata penambahbaikan masih perlu dilakukan, terutama membabitkan isu setempat.
Ujarnya lagi, keperluan masyarakat juga berbeza mengikut kawasan, termasuk komuniti nelayan, penduduk Kampung Baru Cina dan masyarakat Orang Asli yang memerlukan pendekatan lebih bersasar.
Penentu 14 November: Siapa paling memahami selera orang Melaka?
Secara keseluruhannya, PRN Melaka bukan sekadar pertarungan antara gabungan politik, sebaliknya ujian terhadap kemampuan parti menterjemahkan kekuatan organisasi kepada kepercayaan pengundi.
BN mempunyai kelebihan sebagai penyandang dan kerjasama dengan PN, PH pula berdepan ujian mempertahankan pengaruh.
Manakala,Bersatu dan Bersama perlu membuktikan kemampuan membina sokongan yang lebih kukuh.
Namun, seperti sejarah panjang Melaka yang menyaksikan pelbagai kuasa datang dan pergi, pengaruh politik juga tidak kekal hanya kerana pernah menguasai sesuatu kawasan.
Dari sudut Menara Taming Sari, keseluruhan landskap politik negeri itu mungkin kelihatan jelas, tetapi di setiap kawasan DUN, pertimbangan pengundi jauh lebih dekat dengan kehidupan harian mereka.
Akhirnya, kemenangan bukan semata-mata milik parti yang mempunyai bendera paling banyak atau ceramah paling meriah, tetapi pihak yang berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka memahami denyut nadi kehidupan orang Melaka.
Pada 14 November ini, pengundi akan menentukan sama ada kelebihan penyandang, gabungan politik atau keupayaan mendengar suara rakyat menjadi ramuan sebenar kemenangan.