SEHINGGA semalam (Ahad), seramai 17 tebusan di Gaza telah dibebaskan, itu pertukaran ketiga sepanjang empat hari gencatan senjata yang dicapai antara Israel dan Hamas.

Daripada 17 tebusan yang dibebaskan itu, 13 merupakan warga Israel, tiga (rakyat Thailand), sementara seorang lagi memiliki dua kerakyatan iaitu Rusia-Israel, kata jurucakap tentera Israel.

Yang menjadi tumpuan sepanjang 24 jam lalu ialah pembebasan seorang tawanan yang juga kanak-kanak Amerika-Israel berusia empat tahun, Abigail Edan - tebusan termuda Amerika - sekali gus mencatat rekod warga Amerika pertama dibebaskan sejak gencatan dilaksanakan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang memuji tindakan Hamas membebaskan Edan sudah bercakap dengan keluarga kanak-kanak berkenaan, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh White House, pada Ahad.

Laporan media antarabangsa menyebut, kanak-kanak itu kini sedang dirawat di sebuah hospital di Tel Aviv.

Israel bebaskan remaja Palestin: Perkhidmatan Penjara Israel mengesahkan seramai 39 banduan yang terdiri daripada rakyat Palestin dari tujuh penjara berasingan sudah dibebaskan sebagai memenuhi rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Kesemua rakyat Palestin yang dibebaskan merupakan remaja lelaki berusia 18 tahun ke bawah dengan dua daripadanya berusia 15 tahun sementara yang paling muda pula berumur 14 tahun.

Harapan Presiden Joe Biden: Masih dengan perkembangan gencatan senjata di Gaza, pentadbiran Presiden Joe Biden berharap peperangan antara Hamas dan Israel akan dihentikan dalam usaha menyelamatkan kesemua tebusan selain memastikan serangan ke atas orang awam tidak lagi berlaku di wilayah itu.

Bantuan kemanusiaan ke Gaza: Pada Ahad, sebanyak 120 trak berisi bantuan kemanusiaan memasuki Gaza melalui lintasan Rafah, kata kerajaan Mesir.

Kiriman bantuan kemanusiaan itu menjadi antara faktor utama yang digariskan dalam rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Tebusan tinggalkan hospital: Sekumpulan tebusan -  dari dua keluarga – telah dibenarkan keluar dari hospital di Israel, kata pengurusan hospital itu. Mereka merupakan kumpulan tebusan pertama dibenarkan keluar.

Lapan rakyat Palestin dibunuh di Tebing Barat: Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dalam tempoh 24 jam lalu, kata Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataan yang dikeluarkan. - Agensi