MENTERI Kesihatan Palestin Mai al-Kaila pada Jumaat menyuarakan kebimbangan Semenanjung Gaza kini berdepan situasi bencana kemanusiaan dan krisis sistem kesihatan.

Beliau dalam satu kenyataan menggesa semua negara dan kumpulan hak asasi manusia membantu dengan kemasukan segera bantuan perubatan dan kecemasan ke enklaf Palestin yang disekat.

Katanya, sekatan dan pengeboman yang dilakukan Israel sehingga kini menyebabkan lebih 1,500 kematian. 

Sementara itu, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNICEF dalam satu kenyataan memaklumkan, sejumlah besar mangsa pengeboman Israel adalah terdiri daripada kanak-kanak.

“Kami sangat bimbang dengan bilangan yang keluar meninggalkan Gaza. Sebilangan besar mangsa merupakan kanak-kanak, kira-kira sejuta orang tiada tempat selamat untuk dituju.

"Ini tidak boleh diterima dan keganasan mesti dihentikan segera," kata UNICEF menerusi laman media sosial.

Sementara itu, Israel dilaporkan menjatuhkan 6,000 bom di Semenanjung Gaza, sejak melancarkan serangan tindak balas terhadap kumpulan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Ia dipercayai hampir menyamai jumlah bom yang digunakan Amerika Syarikat di Afghanistan dalam tempoh setahun.