KUALA LUMPUR: Tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mencetuskan kemarahan dan kecaman di seluruh dunia, secara ironinya boleh berakhir dengan positif untuk semua negara dagang yang akhirnya meliberalisasikan perdagangan global tetapi melalui cara yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Dalam tempoh tujuh hari, Trump telah mencapai lebih daripada apa yang telah dicapai oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam tempoh 78 tahun dalam membebaskan perdagangan," kata Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd Dr Geoffrey Williams.

Ini kerana 104 daripada 168 negara yang dikenakan tarif awal bulan ini, kini dalam rundingan untuk terma perdagangan yang lebih baik termasuk menurunkan tarif mereka sendiri dengan Washington, katanya dalam program "The Nation - Diplomatic Dispatch" terbitan Bernama TV yang dihoskan oleh Pasha Rahim semalam.

Katanya ini dijangka menyebabkan rakan dagangan AS mengurangkan bukan sahaja tarif malah halangan bukan tarif (NTB) dan sekatan dalam sistem perdagangan dunia, langkah yang akhirnya akan meliberalisasikan perdagangan global.

Ini dapat dilihat selepas Trump mengumumkan tarif sebanyak 46 peratus ke atas Vietnam, Hanoi segera mengumumkan konsesi perdagangan dua hala awal kepada AS.

Williams berpendapat rundingan dijangka berakhir secara positif dengan situasi menang-menang untuk semua pihak, menolak spekulasi oleh sesetengah pihak bahawa perang tarif akan berlanjutan sehingga 2028.

"Ini amat penting untuk negara kecil seperti Malaysia untuk melihat kepada kepentingan nasional sendiri, kepentingan rakan dagang terdekat mereka dan mencapai persetujuan - itu perkara yang paling penting," katanya.

Malaysia, bersama-sama negara anggota ASEAN lain tidak perlu terperangkap dalam konflik perang tarif antara AS dan China yang berpunca lebih daripada rasa tidak puas hati Washington terhadap defisit perdagangan struktur jangka panjangnya dengan Beijing.

Berita terkini dari Washington ialah Trump menyuarakan keyakinan bahawa kadar tarif akhir yang dikenakan ke atas China akan berkurangan dengan ketara.

Bagi Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai pasukan perunding ke Washington untuk membincangkan tarif sebanyak 24 peratus dikenakan ke atas Malaysia.

Williams berkata negara akan mendapat manfaat "jika mereka tidak terlibat dalam naratif Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)."

Walaupun Bank Dunia/IMF mengunjurkan pertumbuhan menurun secara menyeluruh di peringkat global dan serantau dengan negara-negara tertentu terjejas teruk, beliau berkata: "Daripada mengikuti naratif bahawa perkara ini tidak dapat dielakkan, adalah lebih baik mengambil pendekatan positif bahawa ia perlu dielakkan melalui rundingan dengan AS bagi mengurangkan dan menghapuskan halangan perdagangan."

Ini bermakna senario negatif tidak dapat dielakkan tetapi boleh dielakkan dengan mengambil pendekatan kerjasama berbanding tidak menjalin kerjasama, katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan perang perdagangan yang dimulakan oleh AS sebagai langkah "mencetuskan konflik dan agresif" serta negara wajar menentangnya.

Beliau menyedari spekulasi yang meningkat mengenai hasil daripada penangguhan tarif selama 90 hari.

"Jika negara dan kerajaan dapat mengetepikan emosi dan mengadakan perbincangan yang tenang, rasional dan jelas mengenai halangan tarif dan NTB yang boleh dimansuhkan, kita boleh melihat ke hadapan dengan positif ke arah masa depan yang mempunyai halangan perdagangan global yang lebih rendah.

"Sehubungan itu, akan terdapat lebih banyak perjanjian perdagangan bebas dan semua pihak akan mendapat manfaat," katanya.

Williams berkata tarif yang dikenakan oleh kerajaan AS disebabkan ketidakseimbangan struktur jangka panjang dalam perdagangannya dengan banyak negara terutamanya China sejak 1970-an, menyebabkan defisit struktur berikutan amalan perdagangan yang ketat oleh pihak lain.

"Kami (AS) akan mengenakan tarif balas ke atas anda dan jika anda rasa ia tidak adil, telefon atau datang berjumpa kami dan kita akan berunding," katanya merujuk kepada pendirian AS.

"Itu yang sebenarnya berlaku, justeru, ini bukan sekadar kemungkinan, malah satu kebarangkalian (perdagangan akan diliberalisasikan) dan kebarangkalian tertinggi ialah keadaan akan menjadi lebih baik," katanya.

-- BERNAMA