Perasmian Muzium Agung Mesir pada Sabtu ini

Koleksi lengkap 5,000 artifak milik Firaun Tutankhamun, yang dijumpai pada 1922, akan dipamerkan buat kali pertama di satu lokasi, termasuk topeng emas ikonik. - AP
KAHERAH: Mesir bakal merasmikan Muzium Agung Mesir atau "Grand Egyptian Museum" (GEM) pada Sabtu berhampiran Piramid Giza, selepas tertangguh bertahun-tahun akibat krisis ekonomi, pergolakan politik, konflik serantau dan pandemik COVID-19, lapor agensi berita Jerman dpa.
Muzium yang dianggap sebagai muzium terbesar di dunia didedikasikan untuk tamadun Mesir purba itu mempamerkan lebih 100,000 artifak bersejarah, merangkumi zaman prasejarah sekitar 5,000 SM hingga ke zaman Rom sekitar 400 Masihi.
Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 40 raja, presiden dan ketua negara dijangka menghadiri majlis perasmian itu bersama ramai tetamu kehormat antarabangsa.
Kerajaan Mesir turut mengisytiharkan Sabtu sebagai cuti umum, dan majlis itu dijangka disiarkan secara langsung di skrin besar di seluruh negara.

GEM dilengkapi dewan pameran tetap, muzium kanak-kanak, dewan persidangan serta pusat pendidikan yang meliputi keluasan 24,000 meter persegi.
Koleksi lengkap 5,000 artifak milik Firaun Tutankhamun, yang dijumpai pada 1922, akan dipamerkan buat kali pertama di satu lokasi, termasuk topeng emas ikonik.
Muzium ini turut menempatkan patung gergasi Ramses II berusia 3,000 tahun, antara pemerintah paling berkuasa dalam sejarah Mesir purba.
Patung sepanjang 11.3 meter dengan berat lebih 80 tan metrik itu dipindahkan ke dewan utama muzium pada 2018 ketika pembinaannya masih dijalankan.

Antara tarikan utama lain ialah perahu matahari sepanjang 42 meter milik Raja Khufu (Cheops) yang ditemukan pada 1954.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2025, Mesir mencatat kedatangan 8.7 juta pelancong, peningkatan 22 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Kaherah berharap jumlah itu meningkat kepada 17.5 juta menjelang akhir tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


