DUNIA
Peratusan penduduk Jepun berusia 65 tahun ke atas catat rekod tertinggi 29.4 peratus

Nisbah itu bermakna seorang daripada tujuh pekerja di Jepun adalah warga emas. - Gambar hiasan
TOKYO: Peratusan penduduk Jepun berusia 65 tahun ke atas mencecah rekod tertinggi 29.4 peratus, paling tinggi dalam kalangan negara yang mempunyai lebih 40 juta penduduk, menurut anggaran kerajaan pada Ahad, lapor Kyodo News.
Daripada 36.19 juta warga emas di negara yang semakin menua itu, jumlah mereka yang bekerja meningkat untuk tahun ke-21 berturut-turut kepada satu rekod 9.3 juta, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun sempena sambutan Hari Menghormati Warga Emas pada Isnin.
Nisbah itu bermakna seorang daripada tujuh pekerja di Jepun adalah warga emas. Undang-undang keselamatan dan kesihatan industri yang dipinda pada Mei mewajibkan syarikat meningkatkan keadaan kerja bagi pekerja senior, memandangkan risiko kecederaan berkaitan pekerjaan meningkat dengan usia.
Jumlah penduduk Jepun berusia 65 tahun ke atas terdiri daripada 15.68 juta lelaki dan 20.51 juta wanita, dengan gabungan angka itu 50,000 orang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, menurut kementerian itu.Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Nasional mengunjurkan bilangan warga emas Jepun akan meningkat kepada 39.28 juta pada 2040, iaitu 34.8 peratus daripada keseluruhan penduduk, sekali gus menekankan tekanan demografi apabila generasi ledakan kelahiran kedua (1971-1974) memasuki usia lanjut.
Dalam kalangan negara yang mempunyai lebih 40 juta penduduk, Itali berada di belakang Jepun dengan 25.1 peratus rakyatnya berusia 65 tahun ke atas, diikuti Jerman pada 23.7 peratus.
Jepun juga menunjukkan kadar tinggi bagi mereka yang berusia 75 tahun ke atas pada 17.2 peratus, berbanding negara lain yang mempunyai populasi warga emas besar, menurut kerajaan.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa kebanyakan pekerja warga emas pada 2024 adalah pekerja sambilan atau kontrak, dengan ramai daripadanya bekerja dalam sektor borong dan runcit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami