TAIPEI: Taiwan merancang untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan ke tahap tertinggi dalam sejarah pada 2027 berikutan tekanan berterusan dari China, dengan Presiden Lai Ching-te mengumumkan jumlah berkenaan akan melebihi 1 trilion dolar Taiwan buat kali pertama.
Jumlah keseluruhan daripada belanjawan biasa dan belanjawan khas dijangka mencecah NT$1.1225 trilion dolar Taiwan (AS$35.3 bilion), kata Lai semasa rundingan draf belanjawan pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Draf belanjawan kerajaan bagi 2026 memperuntukkan perbelanjaan pertahanan sebanyak NT$949.5 bilion berdasarkan asas pengiraan yang sama. Perbelanjaan yang dirancang untuk 2027 adalah kira-kira 18 peratus lebih tinggi berbanding angka berkenaan. Pejabat Presiden pada awalnya tidak memberikan kadar peningkatan rasmi.
"Pelaburan dalam pertahanan adalah pelaburan untuk keamanan," kata presiden yang juga dikenali sebagai William Lai, menurut kenyataan daripada pejabatnya. Taiwan akan terus memperkukuh keupayaan pertahanannya bagi menjamin keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan dan rantau ini.
Perincian perbelanjaan yang dirancang akan diumumkan pada Khamis ini apabila Kabinet membentangkan draf belanjawan secara rasmi. Draf berkenaan seterusnya perlu dibahaskan di parlimen. Parti pembangkang memegang kerusi majoriti di Parlimen Dwidewan (Legislative Yuan), sekali gus menyebabkan kelulusan penuh jumlah berkenaan masih belum pasti.
Ahli Parlimen hanya meluluskan belanjawan negara bagi 2026 minggu lepas selepas ditangguhkan selama beberapa bulan. Pembangkang menegaskan tidak mahu memberi "cek kosong" kepada kerajaan dan akan meneliti rancangan perbelanjaan itu secara terperinci.
Wilayah pulau yang ditadbir secara demokratik itu berdepan tekanan ketenteraan dan politik yang semakin meningkat dari China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Kepimpinan China juga tidak menolak kemungkinan menggunakan kekuatan ketenteraan, manakala Kerajaan Taiwan menolak sebarang tuntutan wilayah berkenaan.
--BERNAMA-dpa