PERDANA Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dilantik sebagai pemangku presiden sementara ketika Gotabaya Rajapaksa berada di luar negara.

Menurut Speaker Parlimen Mahinda Yapa Abeywardana, langkah itu diambil berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Akibat ketiadaannya di negara ini, Presiden Rajapaksa memberitahu saya bahawa beliau telah melantik Perdana Menteri sebagai Presiden selaras dengan Perlembagaan,” kata Abeywardana.

Rajapaksa melarikan diri ke Maldives pada awal Rabu, selepas dilaporkan 'terperangkap' di lapangan terbang akibat dihalang pegawai imigresen daripada menaiki pesawat.

Terdahulu, pada Sabtu, Rajapaksa dan isteri meninggalkan kediaman rasminya yang dibanjiri puluhan ribu rakyat yang terdiri daripada penunjuk perasaan antikerajaan.

Beliau kemudiannya terpaksa bermalam di pangkalan tentera yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa di Colombo.

Pada Rabu, Wickremesinghe mengisytiharkan darurat di seluruh negara serta perintah berkurung di wilayah barat negara itu selepas ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabatnya di Colombo.

Selepas polis melepaskan beberapa tembakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan, protes bagaimanapun, tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

Minggu lalu, Rajapaksa berjanji untuk meletak jawatan pada Rabu bagi membolehkan proses peralihan kuasa berjalan lancar susulan protes terhadapnya berkaitan krisis ekonomi negara itu.

Penunjuk perasaan menegaskan bahawa mereka akan kekal menduduki bangunan-bangunan rasmi sehingga barisan pemimpin utama negara itu meletak jawatan.