DUNIA
Perdana Menteri Sri Lanka jangka misi IMF tiba pada Jun 20

Ranil Wickremesinghe berharap perjanjian di peringkat kakitangan dengan misi IMF akan dicapai menjelang akhir bulan ini. -Gambar fail/Reuters
MOSCOW: Misi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan tiba di Colombo pada 20 Jun untuk berunding mengenai krisis politik dan ekonomi, lapor Sputnik.
Memetik pejabat Perdana Menteri (PM) Ranil Wickremesinghe, Colombo Gazzete pada Jumaat melaporkan PM berharap perjanjian di peringkat kakitangan dengan misi IMF akan dicapai menjelang akhir bulan ini.
Jurucakap IMF Gerry Rice pada Khamis berkata misi itu merancang melawat Sri Lanka dalam beberapa minggu akan datang untuk perbincangan dasar berikutan krisis ekonomi berterusan yang menjejaskan keupayaan negara itu memenuhi kewajipan kewangan antarabangsanya.
Lawatan itu akan meneruskan lagi perbincangan teknikal yang berlangsung pada Mei, katanya.Sri Lanka berada dalam kebuntuan politik yang disebabkan oleh krisis ekonomi terburuk negara itu sejak mencapai kemerdekaan pada 1948. Pada pertengahan April, Sri Lanka gagal membayar hutang luar negerinya untuk tempoh sementara, yang ditangguhkan sehingga penstrukturan semula hutang di bawah pelarasan ekonomi yang disokong oleh program IMF.
Hutang luar negara Sri Lanka dianggarkan berjumlah AS$51 bilion.
Kemelesetan itu disebabkan oleh kekurangan pertukaran asing berikutan sekatan ke atas aktiviti pelancongan semasa pandemik COVID-19.
Ia menyebabkan negara tidak dapat membeli bahan api yang mencukupi, dengan orang ramai menghadapi kekurangan teruk makanan dan keperluan asas, bahan api pemanas dan gas.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami