NEW ORLEANS: Wakil Amerika Syarikat, R’Bonney Gabriel, dinobatkan sebagai Miss Universe dalam acara yang berlangsung di Louisiana, pada Ahad.

Gabriel, 28, yang berasal dari Houston ialah seorang model dan pereka fesyen. Dia memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam bidang Rekaan Fesyen dari University of North Texas.

Dia kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi jenama pakaian lestari miliknya sendiri, R'Bonney Nola.

Semasa di peringkat Top 5, dia ditanya tentang perubahan inklusif lain yang mahu dilihat dalam Miss Universe, selain perubahan besar tahun ini yang membolehkan ibu dan wanita berkahwin untuk bersaing.

"Saya ingin melihat peningkatan umur kelayakan kerana saya berumur 28 tahun. Dan itu adalah usia paling tua untuk bersaing. Dan saya rasa ia satu perkara yang indah.

"Petikan kegemaran saya ialah 'jika bukan sekarang, bila lagi?' Kerana sebagai seorang wanita, saya percaya kita tidak sepatutnya diadili berdasarkan umur," katanya.

Wakil Venezuela, Amanda Dudamel di tempat kedua dan Andreína Martínez dari Republik Dominica di tempat ketiga.

Turut berada di 16 tempat teratas ialah Puerto Rico, Haiti, Australia, Laos, South Africa, Portugal, Kanada, Peru, Trinidad dan Tobago, Curacao, India, Sepanyol dan Colombia.