NAIROBI: Persidangan Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) kedua (#UNHA2), dibuka dengan seruan untuk pembangunan bandar lestari dan multilateralisme yang berkesan bagi mencipta bandar yang lebih baik, lestari dan tahan krisis.

Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Shariff menggesa supaya naratif dan pendekatan terhadap bandar diubah.

"Kita mesti mengubah pendekatan terhadap bandar. Bandar bukan sahaja punca masalah, tetapi mereka juga dapat mencipta dan memperluaskan penyelesaian.

"Jika dirancang, dibina dan diurus dengan baik, bandar adalah bentuk penempatan manusia yang paling lestari dan jawapan kepada kecemasan iklim.

"Tindakan tempatan dan multilateralisme yang berkesan dan inklusif adalah sangat penting bagi kemajuan global," katanya sebelum majlis pembukaan rasmi di sini, hari ini.

Kenya menjadi tuan rumah untuk persidangan ini yang berlangsung dari 5 hingga 9 Jun 2023 di Nairobi.

Lebih daripada 80 menteri dan timbalan menteri, dijangka menghadiri sesi kedua #UNHA2.

Selain itu, hampir 5,000 delegasi dari seluruh dunia mewakili negara ahli dan pemangku kepentingan turut hadir dalam persidangan ini.

Perhimpunan selama lima hari ini antara lain membabitkan dialog peringkat tinggi antara ketua negara, perdebatan tematik dan dialog yang memberi tumpuan kepada akses universal kepada perumahan yang berpatutan.

Dialog turut menyentuh tindakan iklim di bandar, pemulihan daripada krisis bandar, membawa Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat lokal serta kemakmuran dan kewangan tempatan.

Lebih daripada 30 acara sampingan akan mempamerkan pendekatan inovatif dan tindakan yang berubah berkaitan dengan lima bidang utama yang ditekankan dalam laporan Pengarah Eksekutif mengenai tema istimewa Persidangan UN-Habitat yang kedua ini.