Perintah berkurung di Narathiwat susulan serangan, letupan 11 stesen minyak

Kawalan keselamatan dipertingkatkan di bawah undang-undang ketenteraan dengan rondaan oleh tentera dan polis bagi memastikan ketenteraman awam. - Gambar/ Bernama/ Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4
PIHAK berkuasa wilayah Narathiwat mengumumkan perintah berkurung dari jam 9 malam hingga 5 pagi berkuat kuasa serta-merta selepas 11 stesen minyak di selatan Thailand diserang dengan bahan letupan awal pagi Ahad.
Ringkasan AI
- Perintah berkurung dari jam 9 malam hingga 5 pagi dikuat kuasa oleh pihak berkuasa wilayah Narathiwat selepas 11 stesen minyak di selatan Thailand diserang dengan bahan letupan.
- Penyerang yang dipercayai menaiki motosikal telah membaling bahan letupan di stesen minyak di Yala, Pattani, dan Narathiwat, menyebabkan kebakaran.
- Pihak berkuasa mengarahkan perintah berkurung akan berterusan dan penduduk yang perlu keluar mesti mendapatkan kebenaran daripada polis, tentera, atau pihak pentadbiran daerah.
Pihak berkuasa berkata, perintah berkurung itu akan berlanjutan sehingga notis lanjut.
Penduduk yang perlu keluar dalam tempoh tersebut mesti mendapatkan kebenaran daripada polis, tentera atau pihak pentadbiran daerah.
Gabenor Narathiwat, Boonchuay Homyamney, berkata siasatan mendapati penyerang yang terlibat dalam insiden itu menaiki motosikal, dengan empat hingga lima individu di setiap lokasi.
"Kumpulan penyerang bertindak membakar kedai serbaneka di stesen minyak sebelum meletupkan bom buatan sendiri di dispenser bahan api, menyebabkan kebakaran," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap pusat mitigasi bencana negeri dapat membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat dalam tempoh 10 hari.
Kerajaan negeri turut mengarahkan ketua-ketua daerah meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perniagaan utama dan lokasi berisiko tinggi.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan di bawah undang-undang ketenteraan dengan rondaan oleh tentera dan polis bagi memastikan ketenteraman awam.
Agensi keselamatan menggesa orang awam supaya terus berwaspada, bekerjasama dengan pihak berkuasa dan segera melaporkan sebarang maklumat berhubung individu mencurigakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


