PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin semalam, berikutan kegagalan individu terbabit memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan pada 13 Feb lepas, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin dan SPRM menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Feb.
Advertisement
"Sehubungan dengan itu, SPRM telah memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat SPRM pada 11 Mac ini tetapi sehingga 26 Feb lepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya, peguam turut memaklumkan anak guam mereka berada di luar negara dan menghadapi masalah untuk berhubung dengan mereka," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan Notis Kesan Individu bukan satu bentuk hukuman atau "Wanted List" dan juga bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu notis berkenaan dikeluarkan setelah pelbagai ruang dan tempoh munasabah telah diberikan, termasuk lanjutan masa sebelum ini.
"SPRM menegaskan semua individu adalah tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan dan menyeru keempat-empat individu berkenaan supaya hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dengan segera bagi membantu siasatan dan mengelakkan sebarang tindakan lanjut menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan pihaknya telah membuka enam kertas siasatan baharu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap beberapa individu susulan maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura pada 20 Nov lepas menerusi Ops Godfather.
"Enam kertas siasatan turut dibuka terhadap Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, Josephine Premla Sivaretnam dan empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin. Kesemua mereka disiasat kerana gagal mengisytiharkan aset secara menyeluruh," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan siasatan mendapati individu berkenaan gagal mematuhi sepenuhnya keperluan notis, termasuk ketidakpatuhan dalam mengisytiharkan aset bernilai tinggi serta akaun bank.
Semalam, SPRM memaklumkan sedang mengesan empat anak Allahyarham Daim bagi membantu siasatan satu kes dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan tiga anak bekas Menteri Kewangan yang dikehendaki SPRM itu sedang berada di luar negara.
Beliau berkata rekod Jabatan Imigresen (JIM) menunjukkan ketiga-tiga mereka dikesan keluar dari negara ini pada hujung Januari dan awal bulan ini.
-- BERNAMA