Parti Barisan Hadapan Penyelamat Kebangsaan (NSF) meminta penyokongnya meneruskan bantahan secara aman ke atas kepimpinan Presiden Mohammed Morsi.

Arahan itu dibuat selepas parti berkenaan menolak rancangan kerajaan untuk mengadakan pungutan suara berhubung cadangan pindaan perlembagaan 15 Disember depan.

Ahli NSF, Sameh Aachour berkata, NSF yang terdiri daripada kumpulan pembangkang liberal dan parti kiri turut memberi amaran yang rancangan berkenaan akan mencetuskan lebih banyak perselisihan.

Bagi mendesak pungutan suara dihentikan, ia merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan lebih besar pada Rabu.

Pembangkang turut melemparkan tuduhan tindakan presiden ketiga Mesir itu akan membawa kepada pertelingkahan dan keganasan.

Penunjuk perasaan, Mahmoud Fathi berkata: “Membatalkan dekri perlembagaan, bagi saya, bermakna menghentikan pertumpahan darah orang-orang Mesir. Kami dipanggil untuk sesuatu dan kini ia telah dicapai, jadi kita mesti menamatkan semua pertumpahan darah.”

Dalam perkembangan berasingan, penyokong Ikhwanul Muslim yang menjadi pendokong utama kepimpinan Morsi merancang untuk menganjurkan bantahan di beberapa bandar utama, pada Selasa ini.

Selain Kaherah, ia juga akan diadakan di Iskandariah dan Assiut.

Terdahulu, usaha Morsi mengadakan perbincangan dengan kumpulan pembangkang terbantut selepas dipulau.