AMERIKA Syarikat mempertahankan keputusannya mengharamkan perkhidmatan rangkaian sosial popular, Tik Tok.

Setiausaha Negara, Mike Pompeo menegaskan keputusan itu dibuat semata-mata atas dasar melindungi privasi rakyat negara itu.

Menurut Pompeo, pengharaman Tik Tok tiada kaitan dengan mana-mana urusan perniagaan atau syarikat.

“Berhubung pengharaman Tik Tok, saya mahu meletakkannya dalam konteks yang lebih luas.

“Kami terlibat dengan penilaian dalam memastikan kami melindungi privasi warga Amerika Syarikat dan maklumat. Ia tiada kaitan dengan mana-mana perniagaan atau syarikat, tetapi keselamatan nasional Amerika.

“Kami bergelut untuk memastikannya. Komen yang dibuat sebelum ini adalah berkaitan konteks menilai ancaman dari Parti Komunis China,” katanya seperti dilaporkan AP.

Dalam pada itu, beliau turut memuji syarikat media sosial yang enggan tunduk kepada keperluan kerajaan China berhubung perkongsian data selepas penguatkuasaan undang-undang keselamatan nasional.

“Beijing mengatakan bahawa selama 50 tahun mereka memberi autonomi yang tinggi kepada rakyat Hong Kong, dan anda semua telah melihat apa yang berlaku selepas hanya 23 tahun.

“Janji kosong yang dibuat untuk rakyat Hong Kong dan kepada dunia. Saya ingin memberikan pujian kepada Google, Facebook dan Twitter kerana enggan menyerahkan data pengguna kepada pemerintah Hong Kong.

“Syarikat lain harus mengikutinya dan melakukan perkara yang sama,” katanya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Pompeo memaklumkan negara itu sedang 'mempertimbangkan' untuk mengharamkan penggunaan aplikasi media sosial dari Negara Tembok Besar itu termasuk TikTok, lapor CNN.

Beliau mendedahkan kemungkinan cadangan tersebut ketika temu bual bersama Fox News pada Isnin sambil menambah pihaknya memandang serius perkara itu.