Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 36 kawasan kekal tidak sihat setakat 1 petang, Pegoh Ipoh catat peningkatan IPU tertinggi

Di Lembah Klang dan kawasan selatan Semenanjung, kualiti udara kekal pada tahap membimbangkan. Nilai meningkat kepada 190, manakala Larkin mencatat bacaan 185, diikuti Batu Pahat (184), Pasir Gudang (182) dan Shah Alam (181). -Gambar fail/Bernama
Di Lembah Klang dan kawasan selatan Semenanjung, kualiti udara kekal pada tahap membimbangkan. Nilai meningkat kepada 190, manakala Larkin mencatat bacaan 185, diikuti Batu Pahat (184), Pasir Gudang (182) dan Shah Alam (181). -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 36 stesen pemantauan di seluruh negara terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori Tidak Sihat setakat jam 1 tengah hari ini.

Klang di Selangor kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini apabila meningkat kepada 194, hanya tujuh mata lagi sebelum mencapai kategori Sangat Tidak Sihat (201 ke atas). Johan Setia pula mencatat peningkatan satu mata kepada 192.

Menurut data terkini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Pegoh Ipoh di Perak mencatat peningkatan bacaan IPU tertinggi dalam tempoh sejam lalu apabila naik 11 mata daripada 136 pada jam 12 tengah hari kepada 147.

Stesen Tasek Ipoh turut mencatat peningkatan kepada 146, manakala Tanjung Malim merekodkan bacaan 172.

Di Pantai Timur, Kemaman di Terengganu meningkat 10 mata daripada 108 kepada 118 selepas memasuki kategori Tidak Sihat pada tengah hari tadi.

Di Lembah Klang dan kawasan selatan Semenanjung, kualiti udara kekal pada tahap membimbangkan. Nilai meningkat kepada 190, manakala Larkin mencatat bacaan 185, diikuti Batu Pahat (184), Pasir Gudang (182) dan Shah Alam (181).

Di utara Semenanjung, Seberang Perai mencatat penurunan ketara sebanyak 21 mata daripada 143 kepada 122.

Di Malaysia Timur, Samarahan di Sarawak merekodkan penurunan kecil kepada 152, manakala Sandakan di Sabah meningkat kepada 105.

Daripada keseluruhan 68 stesen pemantauan di seluruh negara, tiada stesen mencatat kualiti udara pada kategori Baik setakat jam 1 tengah hari.

Sebanyak 32 stesen berada pada kategori Sederhana, dengan Minden di Pulau Pinang serta Paka dan Besut di Terengganu masing-masing mencatat bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 96.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat) dan melebihi 300 (Berbahaya).

Must Watch Video

Advertisement