WELLINGTON: Sebuah pertandingan di New Zealand bagi kanak-kanak, yang memerlukan mereka membunuh seberapa banyak kucing liar, telah dibatalkan susulan menerima bantan dan kritikan awam.

Media tempatan melaporkan, tindakan membatalkan pertandingan itu diterima baik terutamanya daripada kumpulan pejuang kebajikan haiwan.

Pihak penganjur acara pemburuan tahunan itu mencetuskan kemarahan ramai apabila mereka mengumumkan kategori baharu iaitu bagi kanak-kanak di bawah usia 14 tahun untuk memburu dan membunuh kucing liar bagi merebut hadiah sejumlah NZ$250 (RM690).

Kategori berkenaan, yang ironinya disertakan dengan pesanan "anak muda dilarang membunuh haiwan peliharaan", akhirnya dihentikan serta-merta.

Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) New Zealand berkata, pihaknya menyokong dan lega apabila kategori kanak-kanak yang melibatkan aksi menembak kucing jalanan, telah ditiadakan.

“Kanak-kanak, malah orang dewasa, tidak akan dapat membezakan antara kucing liar, kucing jalanan atau kucing domestik yang sedang dalam ketakutan,” ujar jurucakap SPCA.

Pertandingan itu, yang berlangsung serentak dengan kategori lain iaitu pemburuan babi hutan, rusa dan arnab liar, merupakan acara mengumpul dana oleh Sekolah Rotherham di South Island.

Pihak penganjur mengakui mereka telah menerima ‘e-mel berbentuk kecaman yang disampaikan dalam bahasa yang kasar dan mengancam’, dan ditujukan kepada penganjur dan sesiapa yang terlibat.

“Keselamatan pihak penaja dan sekolah kami adalah keutamaan kami, maka keputusan telah dibuat untuk menarik balik kategori berkenaan tahun ini untuk mengelakkan bantahan serlanjutan,” tulis penganjur dalam akaun Facebook mereka.

Kucing liar dianggap sebagai haiwan yang membawa masalah di New Zealand, kerana kehadirannya meninggalkan impak dan ancaman buat burung, kelawar, cicak, tikus dan serangga tempatan, menurut Jabatan Konservasi.